'Datuk' bebas tuduhan tipu pembelian pesawat, helikopter

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa melepaskan dan membebaskan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, daripada dua pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat dan helikopter berjumlah lebih RM7 juta.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Datuk Ismail Hassan, 59, di akhir kes pendakwaan.

"Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada kedua-dua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. Wang jaminan (RM10,000) dikembalikan,” katanya.

Dalam penghakimannya, Kamarudin berkata, mahkamah mendapati tidak wujud elemen pernyataan palsu dan niat tidak jujur oleh tertuduh di dalam pertuduhan pertama.

"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh tidak pernah pada bila-bila masa berjanji untuk membeli pesawat tersebut dan mengeluarkan dua cek.

"Pembelian yang dikatakan itu datangnya daripada kehendak pengadu sendiri, seperti mana terbukti dalam rantaian perbualan WhatsApp antara tertuduh dan pengadu, yang mana pengadu ingin menjual pegangannya atas pesawat-pesawat tersebut serta desakan pengadu ke atas tertuduh.

"Oleh itu, mahkamah melihat tidak ada apa-apa perbuatan pemerdaya atau pernyataan tidak jujur daripada tertuduh,” kata Kamarudin.

Mengenai pertuduhan kedua, Kamarudin berkata, berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati terdapat surat dari Jabatan Insolvensi yang telah dikeluarkan kepada tertuduh, sejak 6 September 2016.

"Surat tersebut menyatakan bahawa tertuduh dibenarkan menjalankan tugas sebagai perunding syarikat tanpa apa-apa syarat sekatan lain, namun tertuduh tidak boleh menjadi penjamin bagi pinjaman kepada syarikat itu atau mana-mana pihak.

"Walaupun tanpa pelepasan dari seorang bankrap (muflis), namun dengan adanya surat kebenaran tersebut, ia memadai untuk tertuduh melaksanakan apa-apa perkara berkaitan perjalanan syarikat kerana ia dalam pengetahuan pihak insolvensi, yang telah menimbang dengan halus akan baik dan buruknya kemampuan serta keupayaan tertuduh, sebelum surat kebenaran menjalankan tugas itu dikeluarkan kepadanya,” Hakim Kamarudin.

Perbicaraan kes itu bermula Mei lalu dengan 12 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan, manakala Ismail diwakili peguam Datuk Zainal Omar dan Ahmad Fadli Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa tertuduh hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX), dengan harga RM7,092,995.

Tertuduh telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada mangsa, sedangkan beliau mengetahui bahawa kedua-duanya tidak boleh ditunaikan.

Ismail didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, Sentul di sini pada 21 Februari 2019 mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ismail didakwa sebagai seorang muflis yang belum dilepaskan, telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan lelaki sama, bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini pada 29 November 2017, mengikut Seksyen 109(1) (m) (ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama