Cekap guna tenaga, UMP terima pengiktirafan SEDA

Hassan (dua dari kiri) menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima bersama Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Dr Mohamad Idris Ali (kanan), Mohd Nurulakla Mohd Azlan (dua dari kanan) dan Mohd Ridzuan Shaharuddin Gunison (kiri).
Hassan (dua dari kiri) menunjukkan sijil pengiktirafan yang diterima bersama Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Dr Mohamad Idris Ali (kanan), Mohd Nurulakla Mohd Azlan (dua dari kanan) dan Mohd Ridzuan Shaharuddin Gunison (kiri).
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima pengiktirafan One Diamond bagi Penilaian Karbon Rendah Bangunan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) baru-baru ini.

Pengiktirafan itu diberikan kepada organisasi yang berjaya membuktikan kemampuan melaksanakan usaha penggunaan tenaga elektrik yang efisien, penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Ahli Jawatankuasa Kluster Energy & Climate Change UI-GreenMetric UMP, Profesor Ir Dr Hassan Ibrahim berkata, inisiatif amalan hijau dalam kalangan masyarakat Malaysia amat digalakkan terutama melalui pelaksanaan kecekapan tenaga.

Menurutnya, kecekapan tenaga bertujuan menggunakan tenaga secara berkesan dan optimum sekali gus mengurangkan pembaziran.

"Antara amalan kecekapan tenaga yang boleh dilaksanakan ialah menukarkan peralatan elektrik kurang cekap kepada cekap tenaga, mengurangkan bebanan ke atas peralatan mekanikal kerana ia memerlukan tenaga lebih untuk berfungsi.

"Selain itu, langkah menaik taraf sistem bumbung dan penebat haba bangunan, memiliki sistem saluran keluar masuk udara baik dan menggunakan sistem kawalan jimat-tenaga untuk semua peralatan elektrik juga antara amalan kecekapan tenaga yang boleh dilaksanakan," katanya.

Hassan berkata, kecekapan tenaga kerap dikaitkan dengan penggunaan tenaga minimum bagi menyempurnakan kerja tertentu serta dapat meningkatkan peluang penjimatan dan mengelak pembaziran.

Katanya, konsep penjimatan tenaga membabitkan tiga kategori iaitu penjimatan tenaga dengan tiada kos, kos rendah dan kos tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini UMP hanya mengaplikasikan penjimatan tenaga melalui konsep tiada kos dan kos rendah di mana kami (UMP) berjaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida sebanyak 7.89 peratus bersamaan 883.87 tan matrix karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 1,273,585 kWh di UMP Kampus Pekan.

"Ia hasil kesedaran warganya dalam menjimatkan penggunaan di kampus selain memupuk sikap dan disiplin warga tentang kepentingan kelestarian tenaga,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kelestarian tenaga, Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus diwujudkan di bawah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).

"Langkah ini bagi memastikan pengurusan tenaga di UMP dapat diuruskan secara lestari selari dengan hasrat universiti dalam merealisasikan hasrat kerajaan," katanya.

Katanya, pihak universiti juga telah memulakan inisiatif pengurusan dan penjimatan tenaga sejak 2012 dan sehingga kini sebanyak 25 inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu dilaksanakan bagi mengurangkan penghasilan karbon dioksida di kampus UMP Pekan.

"Usaha ini turut menyumbang terhadap pencapaian universiti dalam penarafan UI-GreenMetric World University Ranking 2019 yang diumumkan baru-baru ini apabila UMP berada pada kedudukan ke-76 terbaik dunia," katanya.