Hawana 2023 terima pengiktirafan perhimpunan terbesar media

Roslan
Roslan
A
A
A

IPOH - Penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 telah mendapat pengiktirafan daripada pengamal media Malaysia yang menyifatkan sambutan kali ini sambutan sebagai perhimpunan terbesar para pengamal media.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama (CEO) Roslan Ariffin berkata, justeru Bernama sebagai agensi pelaksana sambutan yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) itu berharap edisi tahun hadapan, ia akan dianjurkan pada skala lebih baik.

"Saya puji kepada semua yang terlibat kerana saya telah mendapat pengiktirafan daripada semua media di negara ini malah mereka menganggap penganjuran kali ini terbaik yang telah menghimpunkan hampir 1,000 pengamal media seterusnya mengiktirafkannya sebagai satu perhimpunan terbesar.

Bagi HAWANA untuk tahun seterusnya, saya amat mengalu-alukan pandangan daripada orang ramai supaya edisi akan datang lebih baik dan ingin mengucapkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) khususnya Menteri KKD Fahmi Fadzil dalam penganjuran ini,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan jawatankuasa sambutan HAWANA 2023 pada Isnin

Roslan berkata, sambutan kali ini juga memahat kenangan terindah apabila pengamal media negara ini diraikan dengan penuh penghargaan di Istana Iskandariah, pada Sabtu lepas dalam satu majlis santapan malam bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

"Kita akan menyusun lagi strategi dan langkah kita sekali gus menyusun perancangan dengan banyak pihak bagi memastikan HAWANA pada tahun seterusnya dijayakan dengan lebih baik.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah menjayakan majlis ini khususnya kepada KKD, Kerajaan Negeri Perak, pihak Istana Iskandariah yang telah membantu kita menjadikan HAWANA 2023 ini sebagai antara yang terbaik pernah dianjurkan,” katanya.

Bertemakan "Media Bebas, Tunjang Demokrasi” yang berlangsung selama tiga hari di Perak bermula Sabtu lepas dengan kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam di Hotel Casuarina Meru, di sini.

Sambutan HAWANA 2023 dianjurkan oleh KKD dengan pelaksanaannya dikendalikan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Pelbagai acara menarik dijalankan sepanjang sambutan termasuk Kejohanan Boling antara media, pentandingan mencari harta karun, forum dan mini karnival.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. - Bernama