Kerajaan pendekkan tempoh prosedur ganti pekerja asing

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas mengambil kira aduan dan pandangan majikan, Kementerian Sumber Manusia memutuskan untuk membuat perubahan dalam ketetapan prosedur berkaitan proses penggantian pekerja asing (PGPA) di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini, perubahan ketetapan baharu dalam permohonan PGPA itu akan berkuat kuasa mulai 18 Disember 2019.

Menurutnya, perubahan yang dibuat melibatkan ketetapan prosedur pengeluaran Surat Perakuan tersebut di Jabatan Tenaga Kerja.

“Surat Perakuan dari Jabatan Tenaga Kerja akan dikeluarkan berlandaskan hanya kepada penentuan kewujudan dan kesahihan premis majikan yang memohon PGPA dan tidak akan melibatkan proses siasatan perburuhan.

“Surat Perakuan akan dikeluarkan dalam tempoh 48 jam berbanding dengan 14 hari atau lebih selepas daripada tarikh permohonan tertakluk kepada pengesahan kewujudan premis perniagaan majikan,” katanya.

Jelasnya, Jabatan Tenaga Kerja juga akan menjalankan pemeriksaan susulan sebulan selepas Surat Perakuan dikeluarkan kepada majikan bagi menyemak tahap pematuhan undang-undang perburuhan.

“Sekiranya mana-mana majikan didapati melanggar peruntukan undang-undang perburuhan, maka tindakan akan diambil ke atas majikan tersebut.

“Hebahan mengenai ketetapan baharu prosedur PGPA di peringkat Jabatan Tenaga Kerja akan turut dipaparkan dalam laman web jtksm.mohr.gov.my atau www.eppax.gov.my,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kementerian memaklumkan perubahan itu hanya melibatkan prosedur di peringkat Jabatan Tenaga Kerja sahaja.

“Prosedur lain di Jabatan Imigresen Malaysia dan One Stop Centre, Kementerian Dalam Negeri masih kekal,” katanya.

Sementara itu, kementerian menggalakkan majikan menyegerakan pelaksanaan Pematuhan Audit Sosial Antarabangsa (ISCA) meskipun kerajaan memutuskan pelaksanaannya secara mandatori pada 1 Januari 2021.