Pekerja asing bawa keluar wang negara RM34 bilion setahun

Lambakan pekerja asing memberi impak kepada ekonomi kerana pengaliran wang yang keluar dari negara ini. - Foto hiasan/Bernama
Lambakan pekerja asing memberi impak kepada ekonomi kerana pengaliran wang yang keluar dari negara ini. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Kerajaan diminta untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dengan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau 'reskilling and upskilling' pekerja tempatan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pengambilan pekerja tempatan dalam sektor tertentu lebih baik dan menjimatkan kos pada jangka masa panjang.

"Nak ambil pekerja asing menelan kos yang mahal sebagai contoh kos pengambilan pekerja dari Bangladesh kira-kira RM25,000 untuk setiap pekerja. Ini berbeza dengan pekerja tempatan yang tidak perlu keluarkan kos banyak.

"Selain itu, lambakan pekerja asing di negara ini juga memberi impak kepada ekonomi kerana pengaliran wang yang keluar dari negara ini secara rasmi berjumlah RM34 bilion setahun. Kos berkenaan tidak termasuk pekerja asing datang secara tidak sah dan sebagainya.

"Jadi jumlah pengaliran wang keluar tersebut boleh satu kali ganda daripada jumlah rasmi. Bayangkan jika wang sebanyak itu dikekalkan dalam negara dan ia digunakan bagi memperkukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat Majlis Profesor Negara (MPN) di sini pada Isnin.

Shamsuddin
Shamsuddin

Dalam usaha menarik pekerja tempatan, beliau berkata, majikan perlu meningkatkan cara pengendalian sesuatu pekerjaan tersebut dengan penggunaan teknologi.

Menurutnya, sebagai contoh di sektor perladangan pada masa ini ramai majikan telah mengaplikasikan teknologi dalam urusan pekerjaan seperti pekerja menggunakan dron untuk menabur baja, meracun ladang dan sebagainya.

"Ini sebenarnya akan menarik pekerja tempatan bekerja dalam bidang tersebut dan mereka yang bekerja di ladang tak perlu lagi menggunakan kudrat tenaga seperti gunakan mesin untuk kutip buah lerai dan lain-lain.

"Jadi majikan perlu melabur lebih pada teknologi selain kerajaan perlu memainkan peranan dengan membantu majikan kecil khususnya untuk menggunakan teknologi, automasi dan sebagainya dalam urusan pekerjaan," jelasnya.

Shamsuddin menambah, pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran dengan dilatih dan diberi pendidikan teknikal mengikut bidang pilihan masing-masing.

"Apa juga kemahiran mereka terima mesti disijilkan. Itu penting dan pada akhirnya nanti kita akan ada satu sistem bayaran gaji, mereka dibayar bukan atas dasar gaji minimum tetapi atas dasar kemahiran mereka mengikut tahap sijil masing-masing.

"Sebab itu kita lihat sebagai contoh sektor perladangan, mereka yang mengendalikan dron dan mesin tersebut dibayar gaji sebanyak RM3,000 dan bukannya gaji minimum.

"Sudah semestinya ia melibatkan syarikat besar tetapi kita harapkan perkara sedemikian dapat diperluaskan di setiap peringkat dan akhirnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," jelasnya.

Pada Isnin, MPN menganjurkan sesi perbincangan meja bulat dengan menghimpunkan lebih 20 ahli akademik dan wakil MEF untuk berbincang mengenai soal menangani isu kebanjiran warga asing di Malaysia.