Rasuah pekerja asing: LLRC gesa kerajaan tubuh RCI

Gopal (tengah) dan Irene (kanan) pada sidang akhbar di Petaling Jaya pada Ahad.
Gopal (tengah) dan Irene (kanan) pada sidang akhbar di Petaling Jaya pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) menggesa agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes rasuah yang berlaku dalam sistem pengurusan pekerja asing.

Pengerusi bersamanya, N. Gopal Kishnam dan Irene Xavier berkata, siasatan perlu dilakukan terhadap syarikat yang terlibat dalam sistem pengurusan, penyedia perkhidmatan dan agensi pengambilan pekerja asing.

Menurutnya, ini kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai Menteri Sumber Manusia dilihat membimbangkan.

“Kita perlu menggunakan pendekatan holistik untuk menangani rasuah dalam sistem. Tiada siapa yang harus menganggap pekerja asing sebagai komoditi dan mengaut keuntungan daripadanya,” kata di sini kepada media pada Ahad.

Berikut merupakan satu daripada 10 tuntutan daripada LLRC kepada kerajaan bersempena Hari Buruh yang berlangsung pada Isnin.

Tambahnya, antara lain adalah kerajaan perlu memastikan majikan mematuhi sepenuhnya gaji minimum yang ditetapkan iaitu RM1,500.

Dalam masa sama, penyediakan sekurang-kurangnya 25 peratus kenaikan gaji kepada mereka yang berkhidmat dalam tempoh yang lama tetapi tidak mendapat faedah daripada sistem gaji minimum sejak dilaksanakan pada 2012 perlu dilakukan.

LLRC menyatakan 10 tuntutan kepada kerajaan bersempena Hari Buruh yang berlangsung pada Isnin.
LLRC menyatakan 10 tuntutan kepada kerajaan bersempena Hari Buruh yang berlangsung pada Isnin.

“LLRC menerima aduan daripada kesatuan sekerja bahawa ribuan pekerja dalam sektor perkilangan, selepas bekerja dengan syarikat selama 20-30 tahun dengan gaji permulaan RM400-500 sebulan, gaji semasa mereka hanyalah RM20 hingga RM50 lebih tinggi daripada gaji minimum berkanun RM1,500.

“Ini adalah benar-benar tidak adil kerana mereka mempunyai 15 hingga 20 pengalaman bekerja daripada pendatang baharu. Kerajaan harus melihat secara serius isu ini,” ujarnya.

Menurut Gopal dan Irene, kerajaan juga perlu menubuhkan semula pusat kemahiran sebagai persediaan menghadapi transformasi industri.

Katanya, pusat kemahiran semula boleh membantu pekerja yang diberhentikan untuk mendapatkan kemahiran baharu dan seterusnya mencari pekerjaan lain.

“Kerajaan harus menyediakan tenaga kerja mahir untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan memudahkan peralihan yang lancar kepada negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Selain itu, tambah beliau, pindaan Akta Kesatuan Sekerja, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak perlu diluluskan dalam sidang parlimen akan datang.

Jelasnya, cadangan jadual ke-empat Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) dan fasal yang menakutkan kesatuan sekerja perlu dimansuhkan.

Gopal dan Irene berkata, tuntutan kelima adalah meratifikasi Konvensyen 87, 189 dan 190 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai kebebasan berpersatuan, pekerja rumah tangga dan keganasan dan gangguan.

“Perlu menguatkuasakan sepenuhnya Konvensyen ILO mengenai Perundingan Kolektif,” tambahnya.

Beliau berkata, tuntutan lain adalah melakukan rombakan berkenaan tuntutan prosedur pengiktirafan kesatuan sekerja.

Jelasnya, jika kadar keluar mengundi rahsia kurang daripada 50 peratus, proses undi sulit perlu dimulakan semula dalam masa dua minggu.

“Kesatuan sekerja yang menerima lebih daripada 25 peratus undi akan diberi pengiktirafan.

“Ketujuh, perlu mematuhi ketetapan Jawatankuasa ILO mengenai Kebebasan Berpersatuan pada Mac 2023 (No. Kes 3414 Kesatuan Pekerja Industri Kayu Sabah menentang Industri Perhutanan Sabah).

“Pindaan perundangan mesti dilakukan untuk memastikan kakitangan pengurusan dan penyeliaan terhad kepada mereka yang benar-benar mewakili kepentingan majikan.

“Ini termasuk mereka yang mempunyai kuasa untuk melantik atau memecat pekerja,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan juga perlu menghidupkan semula amalan sektoral yang dilakukan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi menggalakkan kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan mengadakan dialog sosial secara berkala.

LLRC turut mendesak Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar untuk memberikan pengecualian dan membenarkan pekerja domestik asing menubuhkan serta memegang jawatan dalam kesatuan sekerja.

“Memandangkan keadaan mereka yang terdedah, pengaturan kesatuan harus dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan negara asal,” tambahnya lagi.

Akhir sekali, LLRC mencadangkan agar mesyuarat tetap dengan kesatuan sekerja dan pertubuhan pekerja asing mengenai pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Buruh Paksa diadakan.

Jelasnya, ia mesti melibatkan kesatuan sekerja sektor dan organisasi pekerja asing dalam usaha menghapuskan buruh paksa,” katanya.