Tak susah buat kuih bulan

Peserta melakukan proses membuat kuih bulan pada bengkel terbabit.
Peserta melakukan proses membuat kuih bulan pada bengkel terbabit.
A
A
A

KUANTAN – Pembuatan kuih bulan dilihat didominasi kaum cina, namun kini individu selain kaum itu juga boleh mahir dalam pembuatan kuih terbabit sehingga mampu menjana pendapatan.

Nor Rahani Mohd Ali, 59, berkata, untuk menghasilkan kuih bulan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Cina itu sebenarnya tidak terlalu susah dan cerewet.

Menurutnya, dengan ramuan yang betul dan mengikut resipi diberikan diberikan tenaga pengajar, ia pasti memberi hasil terbaik meskipun menggunakan peralatan moden.

“Terus terang saya cakap ia tidak seperti yang digambarkan sebelum ini. Bila dah ikuti bengkel ini (buat kuih bulan) ia beri peluang kepada saya untuk menambahkan pendapatan.

“Boleh la saya menjual secara kecil-kecilan di kampung dengan menawarkan harga yang berpatutan,” katanya ketika ditemui di Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Jalan Bukit di sini, semalam.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu disertai 40 peserta yang terdiri daripada usahawan dan pesara.

Pesara penolong jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang berkata, inti kuih bulan boleh dipelbagaikan jika masih mahu makanan itu dimakan semua lapisan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang peserta bersama kuih bulan inti pandan yang dihasilkan pada bengkel terbabit, semalam.
Salah seorang peserta bersama kuih bulan inti pandan yang dihasilkan pada bengkel terbabit, semalam.

“Kita boleh gunakan inti durian, pandan, kacang merah dan kuning telur masin kerana ia dapat menambahkan lagi kesedapan kuih bulan yang kini semakin diminati oleh pelbagai kaum di negara ini.

“Saya bertuah kerana dalam masa beberapa jam sahaja saya berjaya mendapat kemahiran bagi menghasilkan kuih bulan secara percuma disediakan Kemas,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nor Yati Hassan, 52, turut meluangkan masa menghasilkan kuih bulan resipi Melayu untuk dijual sebagai menambah pendapatan keluarga.

“Saya berharap impian menjadi pembekal kuih bakul air tangan usahawan Melayu menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pendidikan Kemahiran kemas daerah, Zuhaidah Muhamed berkata, bengkel itu diadakan bagi memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik menghasilkan kuih bulan yang berkualiti bagi memenuhi cita rasa penggemarnya.

"Lima proses perlu dilakukan seperti membancuh, menguli, menerap, membakar dan menyapu kuning telur. Masa antara 15 dan 20 minit diperlukan untuk membakar.

“Peserta diajar menghasilkan kuih bulan dengan beberapa perasa inti dan saiz bagi memenuhi cita rasa masyarakat di negara ini. Saya berharap dengan latihan yang diberikan lebih banyak kuih bulan dapat dihasilkan oleh usahawan Melayu berada di pasaran tempatan,” katanya.