Lima beranak maut kebakaran: MB Pahang ucap takziah kepada keluarga

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan takziah kepada ahli keluarga lima sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub awal pagi Khamis.
Beliau berkata, kejadian itu amat mendukacitakan dan mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat itu.
"Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar ini.
"Semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Terdahulu, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim dilaporkan berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian pada 4.15 pagi dan operasi pemadaman kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi Khamis.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan 100 peratus struktur rumah selain tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa maut, Mohd Alawi Muhammad, 56; isterinya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, dan tiga anak mereka iaitu Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

