'Pegang 100 portfolio pun, gaji saya banyak itu juga' - Sanusi

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar yang turut dihadiri barisan Exco baharu di Wisma Darul Aman.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar yang turut dihadiri barisan Exco baharu di Wisma Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan jumlah portfolio dipegangnya yang disifatkan terlalu banyak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata, setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terpaksa memegang banyak portfolio disebabkan peranan itu perlu diselaraskan mengikut bidang tugas di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, memikul beban tugas sehingga lapan portfolio dalam pentadbiran negeri bukan bermakna dirinya menerima bayaran tambahan seperti tanggapan pihak tertentu, sebaliknya gaji diterima tetap sama.

“Terdapat 28 menteri Kabinet di peringkat Persekutuan, setiap menteri memegang dua atau tiga portfolio, kalau 28 menteri bermakna ada lebih 50 portfolio.

“Apabila 50 lebih portfolio itu diselaraskan ke negeri yang kita ada 10 Exco, campur saya jadi 11 orang, bermakna setiap Exco perlu diberikan banyak tugas, termasuk menteri besar, bukan saya nak kumpul jawatan untuk saya,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama selepas pembentukan kerajaan negeri, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dikecam apabila memegang terlalu banyak portfolio iaitu lapan berbanding tujuh ketika beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 2020.

Dalam Kabinet Kedah diumumkan pada Isnin, Muhammad Sanusi merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta Kerjasama Luar.

Beliau turut memperjelaskan tambahan dua portfolio baharu, iaitu Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar yang diperkenalkan kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Struktur negeri ada yang tak ada di Persekutuan, jadi perlu susun ikut keperluan. Kita masukkan dua tambahan untuk kita beri fokus selain sekarang ini dilihat kemungkinan untuk hubungan luar yang perlu diberikan tumpuan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap tanggapan salah mengenai portfolio yang disandangnya itu akan lebih jelas selepas penerangan diberikan.

“Ada orang faham kononnya pegang banyak portfolio banyaklah gaji, itu tak betul. Gaji banyak itu juga. Kalau saya pegang 100 portfolio pun gaji saya banyak itu juga. Bila dapat banyak tanggungjawab, sebenarnya itu beban bukan satu kenikmatan.

“Ada tanggapan, bila kita pegang banyak jawatan itu nikmat besar, bukan, itu beban. Orang pegang banyak beban dia kena kerja teruk, jadi patut ucap takziah pada dia, bukan tahniah.” ujarnya.

Tegas beliau, semua penyelarasan tersebut dilakukan mengikut bidang tugas negeri bagi membolehkan 11 Exco berfungsi seiring dengan Persekutuan.

“Baru-baru ini diadakan pertemuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) negeri yang bertanggungjawab kepada agensi Persekutuan di negeri ini. Satu pelarasan pentadbiran dibuat antara pengurusan kerajaan negeri dengan Persekutuan untuk kelancaran pentadbiran.

“Saya percaya dengan kepelbagaian latar belakang barisan Exco, ia dapat membantu saya meneruskan agenda pembangunan negeri dan pentadbiran kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu memaklumkan, setiap Exco akan dipantau menerusi petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

“Saya dah bagi nasihat panjang lebar kepada Exco dalam mesyuarat tadi. Antaranya panduan cara bekerja yang efisien, harmoni dalam pelbagai keadaan, perlu ada gerak kerja dengan pendekatan kemas, cepat dan berdikari,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan wujudnya ketidakpuasan hati apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya diberikan tiga jawatan Exco, Muhammad Sanusi jelaskan, perkara itu tidak lagi berbangkit dan dapat diselesaikan sebaiknya sejurus majlis angkat sumpah jawatan Exco pada Isnin.