Pesta Air Nasional@Kuantan semarakkan sektor pelancongan

Antara aktiviti menarik yang diadakan sempena Pesta Air Nasional@Kuantan yang berlangsung selama tiga hari di Teluk Chempedak, Kuantan, Pahang.
Antara aktiviti menarik yang diadakan sempena Pesta Air Nasional@Kuantan yang berlangsung selama tiga hari di Teluk Chempedak, Kuantan, Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan menganjurkan Pesta Air Nasional@Kuantan 2023 sebagai inisiatif memperkukuhkan industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini secara inklusif, selain memperkenalkan kepelbagaian kebudayaan yang unik kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, inisiatif berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dilihat membantu menyemarakkan sektor pelancongan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat.

Menurutnya, penganjuran Pesta Air Nasional yang melibatkan pelbagai agensi, jabatan dan masyarakat setempat secara tidak langsung dapat mempromosi produk pelancongan, budaya dan kesenian di negeri Pahang.

Khairul Firdaus (dua dari kanan) dan Yu Man (kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Pesta Air Nasional@Kuantan di Teluk Chempedak, Kuantan pada Sabtu.
Khairul Firdaus (dua dari kanan) dan Yu Man (kanan) hadir pada Majlis Pelancaran Pesta Air Nasional@Kuantan di Teluk Chempedak, Kuantan pada Sabtu.

"Kita perlu promosi dan tonjolkan setiap keunikan dan khazanah tersembunyi yang ada di setiap negeri termasuk di Pahang melalui pesta ini supaya rakyat dapat melihat dan menilai keistimewaan yang ada di negara ini.

"Justeru itu, kami amat menekankan elemen budaya dan tradisional dalam program Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menonjolkan pelbagai produk kebudayaan yang unik di negara ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pesta Air Nasional@Kuantan 2023 di Teluk Chempedak di sini pada Sabtu.

Majlis pelancaran disempurnakan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Leong Yu Man mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Khairul Firdaus berkata, pihaknya akan berbincang untuk memperluaskan program seumpama itu di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya dengan adanya kerjasama semua pihak, banyak perkara yang kita tidak pernah fikirkan dapat dilaksanakan.

"Kita tahu program sebegini memang akan mendapat sambutan masyarakat setempat sebab itu MOTAC lebih kepada progam lapangan yang melibatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat. Tidak boleh syok sendiri," ujarnya.

Demontrasi penyelamatan di air antara aktiviti menarik yang disediakan untuk tontonan pengunjung Pesta Air Nasional@Kuantan di Teluk Chempedak, Kuantan.
Demontrasi penyelamatan di air antara aktiviti menarik yang disediakan untuk tontonan pengunjung Pesta Air Nasional@Kuantan di Teluk Chempedak, Kuantan.

Sementara itu Yu Man berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk mempromosikan pelancongan negeri Pahang dan salah satu usaha adalah dengan penganjuran acara seperti pesta air itu.

"Tahun ini banyak aktiviti bertaraf nasional dan antarabangsa telah dianjurkan di Kuantan bagi merancakkan sektor pelancongan di negeri ini.

"Berdasarkan statistik, jumlah pelancong yang datang ke negeri ini untuk suku pertama dan kedua tahun ini telah meningkat 22.8 peratus berbanding tahun lalu," katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri berharap penganjuran Pesta Air Nasional terus dikekalkan di negeri ini untuk masa akan datang.

Majlis Pelancaran Pesta Air Nasional @Kuantan disambut meriah dan penuh warna warni dengan persembahan kebudayaan dan artis terkenal antaranya Jamal Abdillah dan Noraniza Idris.

Pelancaran Pesta Air Nasional@Kuantan diserikan dengan pelbagai persembahan menarik dan penuh warna warni.
Pelancaran Pesta Air Nasional@Kuantan diserikan dengan pelbagai persembahan menarik dan penuh warna warni.

Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang tiga hari program termasuk tayangan laser pada skrin air, sukan rakyat, pertandingan kayak, pertandingan pukul bantal dan panjat tiang licin, pertandingan luncur ombak dan luncur angin, demonstrasi makanan warisan, demonstrasi menyelamat dan keselamatan, pameran dan jualan.

Turut diadakan Malam Gala Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 (FeSKEP) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang menonjolkan keunikan tujuh suku kaum masyarakat peribumi dari negeri Pahang (Semelai dan Jahut), Selangor (Mah Meri dan Bah Bola), Negeri Sembilan (Temuan), Kelantan (Bateq) dan Terengganu (Semoq Beri).