Dua beradik mangsa kebakaran Raub dijadikan anak angkat MARA

KUANTAN – Nasib dua beradik yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, mendapat perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA) apabila kedua-duanya kini dijadikan anak angkat agensi tersebut.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tawaran itu dibuat selepas Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, kehilangan ibu bapa serta dua adik mereka dalam kejadian awal pagi Khamis.
Menurutnya, MARA melalui Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan memantau sepenuhnya kebajikan dan kelangsungan pendidikan dua beradik itu.
"Kita jadikan Ruby dengan adik sebagai anak angkat kami (MARA). Kalau Ruby sudi, saya jadikan anak angkat saya secara peribadi, nanti saya sendiri akan tanggung Ruby sampai habis belajar di universiti," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Khamis.
Asyraf Wajdi juga menasihatkan kedua beradik agar kuat dan tabah menghadapi ujian itu.
"Jika ada apa-apa, beritahu sahaja, anggap saya seperti ayah. Insya-ALLAH, MARA akan bantu," jelasnya
Beliau turut memaklumkan semua 58 cawangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara mengadakan solat sunat jenazah ghaib untuk bekas pelajarnya, Ruby Adira Batrieisya Mohd Alawi, yang maut dalam kejadian itu.
"Terima kasih kepada seluruh 58 MRSM yang mengadakan solat jenazah ghaib kepada Almarhumah Ruby Adira dan empat ahli keluarganya yang terkorban akibat tragedi sedih di Raub.
"Arwah adalah bekas pelajar MRSM Bentong. Insya-ALLAH kedua-dua ahli keluarga yang tinggal khususnya kakak sulung dan adik lelaki akan MARA bantu sehingga mereka tamat pengajian di peringkat tertinggi," katanya lagi.
Pada Khamis, media melaporkan tragedi kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Dong, Raub mengakibatkan lima sekeluarga maut.
Selain Ruby Adira, turut maut ialah bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56, ibu, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta dua adiknya, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Dua beradik yang terselamat itu berada di asrama semasa kejadian.
Ringkasan AI
- Dua beradik terselamat dalam tragedi kebakaran di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, menjadi anak angkat MARA
- Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, kehilangan ibu bapa dan dua adik dalam kejadian
- MARA melalui Yayasan Pelajaran MARA akan memantau kebajikan dan kelangsungan pendidikan mereka
- Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menawarkan menjadi anak angkat peribadi kepada Ruby
- Seluruh 58 MRSM di negara mengadakan solat sunat jenazah ghaib untuk arwah Ruby Adira Batrieisya Mohd Alawi dan empat ahli keluarganya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

