Najib pun pernah janji dahulu, tapi...

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) mendedahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah berjanji untuk memberikan komisen kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak seperti yang diberikan kerajaan PH hari ini.

Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, sebelum ini Najib turut menjanjikan kenaikan margin keuntungan kepada pengusaha stesen petrol sebelum ini, tetapi ditangguhkan kerana bimbang BN tumbang dalam PRU14.

Malah, menurut Khairul Annuar lagi, sejak tahun 80-an kerajaan BN yang menaikkan komisyen kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak.

“Beliau dan kerajaan BN sendiri pernah janjikan kepada kami pengusaha stesen minyak tapi, bimbang kalah PRU14, ditangguhkan dulu.

“Sejak tahun 80-an yang menaikkan komisyen kepada pengusaha stesen minyak kerajaan mana? Bukankah kerajaan BN juga,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Khairul Annuar turut menyatakan hanya pengusaha stesen minyak dengan ‘volume’ besar menikmati keuntungan yang tinggi, sedangkan pengusaha stesen minyak secara kecil-kecilan mungkin hanya memperoleh keuntungan sekitar RM2,000 hingga RM4,000 sahaja.

“Sejak bawah BN lagi kerajaan dah kaji bahawa sepatutnya untuk menaikkan kadar komisen kepada pengusaha stesen minyak tapi beliau yang takut kalah, tunggu lepas PRU14,” ujarnya.

Semalam, Najib mendakwa bahawa pengumuman harga minyak hari ini turut mengesahkan kerajaan PH telah bertindak menaikkan margin keuntungan untuk pengusaha stesen petrol sebanyak 23 peratus untuk RON 95.

Artikel Berkaitan:

“Ia meningkat daripada hanya 12.19 sen satu liter kepada 15 sen satu liter bermula hari ini. Untuk rekod, penjualan RON 95 di seluruh Malaysia secara purata ialah sebanyak 1.1 bilion liter dicatatkan pada setiap bulan.

“Ini bermaksud pengusaha stesen minyak sebenarnya boleh mengaut keuntungan tambahan sebanyak RM30 juta setiap bulan ataupun RM360 juta setiap tahun dengan pengumuman kenaikan harga pada hari ini,” dakwa Najib.

Manakala margin keuntungan untuk diesel pula ujar bekas menteri kewangan tersebut, turut dinaikkan oleh pihak kerajaan PH sebanyak 43 peratus daripada cuma 7 sen satu liter kepada 10 sen satu liter.

“Apapun, sekurang-kurangnya rakyat Malaysia dapat nikmati harga petrol yang lebih rendah ketika ini walaupun telah terlambat untuk musim cuti sekolah bulan lepas,” kata Najib sinis.