Perdana Menteri seru rakyat kembali bersilaturahim

Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengundi bagi DUN Permatang Pasir pada PRN Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti hari ini. - Foto Bernama
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengundi bagi DUN Permatang Pasir pada PRN Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar kembali bersilaturahim berikutan kempen pilihan raya negeri (PRN) telah pun selesai pada Sabtu.

Menurutnya, keputusan PRN di enam negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan yang akan diketahui hari ini hanya menentukan kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya pentadbiran kerajaan persekutuan akan berjalan seperti biasa.

"Daripada pemantauan kita, setakat ini keenam-enam negeri keadaan baik, suasana tenang.

"Kempen telah selesai jadi kembali bersilaturahim," katanya ketika ditemui media di luar Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti di sini pada Sabtu.

Beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di pusat mengundi berkenaan jam 9.33 pagi dan dilihat selesai mengundi jam 9.40 pagi.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru kepada pengundi agar keluar melaksanakan tanggungjawab mereka di keenam-enam negeri yang terlibat dengan PRN.

"Saya minta pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

"Keluar awal dan jangan tangguh tanggungjawab untuk mengundi lebih awal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!