Malaysia sifatkan India sebagai rakan baik, usaha perluas kerjasama - Anwar

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan India sebagai sebuah negara hebat dan ramah, sambil menekankan bahawa hubungan budaya yang rapat serta kepentingan geopolitik yang semakin meningkat antara kedua-dua negara.
Berucap pada mesyuarat delegasi bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini, Anwar menyuarakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama lebih erat antara kedua-dua pihak dalam semua bidang.
"Kami telah membincangkan beberapa isu yang menjadi perhatian, yang saya rasa perlu diperincikan oleh pasukan kami. Tetapi, secara prinsipnya kami menyifatkan India sebagai sebuah negara yang hebat dan ramah, rapat dengan Malaysia dari segi budaya dan tentunya kini dari segi geopolitik,” kata beliau, di sini hari ini.
Anwar berkata Malaysia menjangkakan kerjasama yang lebih erat dengan India susulan lawatan rasmi dua hari Modi itu, sambil menambah lawatan berkenaan mempunyai makna yang amat besar.
"Secara peribadi, lawatan itu amat signifikan. Lawatan itu juga amat saya nantikan, ia ditangguhkan atas sebab yang munasabah. Tetapi, sambutan yang diberikan tetap meriah dan turut diraikan oleh rakyat Malaysia,” kata beliau.
Sementara itu, Modi merakamkan penghargaan kepada Anwar atas sambutan meriah yang diberikan, sambil menyifatkan acara yang diadakan amat lancar dan teratur.
Modi berkata, kemajuan hubungan yang pantas antara Malaysia-India sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberikan inspirasi, dan mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas sumbangan besar dalam memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.
Beliau berkata, kerjasama itu terus berkembang dalam semua sektor, termasuk pertanian, pembuatan, tenaga bersih dan semikonduktor, manakala kolaborasi dalam pembangunan kemahiran, pembinaan kapasiti, pertahanan dan keselamatan juga terus diperkukuh.
Perdana Menteri India itu turut menekankan kepentingan kerjasama dengan negara-negara rakan yang lain dalam memerangi keganasan, dan sebagai jiran maritim, India serta Malaysia, perlu memanfaatkan sepenuhnya hubungan itu di tengah-tengah ketidakstabilan global.
Beliau berkata, keutamaan lawatan ini, iaitu India berhasrat meningkatkan kerjasama dengan Malaysia ke tahap baharu, dengan memperluas kerjasama dan berkongsi kemakmuran dalam semua bidang. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggambarkan India sebagai negara hebat dan ramah
- Menekankan hubungan budaya yang rapat serta kepentingan geopolitik yang semakin meningkat antara Malaysia dan India
- Anwar menyuarakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama lebih erat dalam semua bidang dengan India
- Malaysia menjangkakan kerjasama yang lebih erat susulan lawatan rasmi dua hari oleh Perdana Menteri India Narendra Modi
- Lawatan Modi ke Malaysia mempunyai makna yang amat besar dan diraikan oleh rakyat Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
