Peniaga gagal pamer larangan merokok terima notis

Dr Amirulazman (tengah) bersama kakitangan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan PKD Jeli dan penguatkuasa MDJ yang hadir menjayakan operasi di sekitar bandar Jeli di sini, hari ini.
Dr Amirulazman (tengah) bersama kakitangan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan PKD Jeli dan penguatkuasa MDJ yang hadir menjayakan operasi di sekitar bandar Jeli di sini, hari ini.
A
A
A

JELI - Sebanyak 22 notis peringatan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jeli ekoran kegagalan pemilik premis mempamerkan tanda larangan merokok di premis mereka.

Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr Amirulazman Abu Hassan berkata, notis peringatan itu dikeluarkan Unit Inspektorat dan Perundangan, PKD Jeli sempena Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (pindaan 2018) larangan merokok di tempat makan yang dijalankan sejak 1 Januari lalu.

"Dalam tempoh tiga hari operasi dijalankan, termasuk hari ini, kita dapati masih ada pemilik-pemilik premis yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok sebagaimana diarahkan.

"Kita terpaksa keluarkan notis sebagai peringatan kepada mereka. Sepanjang tempoh enam bulan pertama, iaitu bermula Januari hingga Jun 2019, kami hanya akan keluarkan notis peringatan sahaja di mana ia merupakan amaran awal, " katanya kepada Sinar Harian selepas menyertai operasi berkenaan di sini, hari ini.

Tambahnya, penguatkuasaan secara lebih serius akan dilaksanakan bermula Julai ini.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan 11(1)(d) iaitu tidak mengendahkan larangan merokok boleh dikenakan tindakan undang- undang dan jika disabitkan bersalah, mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun.

"Manakala pemilik premis makanan boleh didenda maksimum RM3000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika gagal mempamer tanda larangan merokok di bawah peraturan 12(1)(a) dan denda maksimum RM5000 atau penjara tidak lebih setahun bagi kesalahan gagal memastikan orang tidak merokok dibawah peraturan 12(1)(b).

Menurutnya, PKD Jeli dengan kerjasama Majlis Daerah Jeli (MDJ) telah mengadakan taklimat berkenaan penguatkuasaan larangan merokok ini kepada pemilik premis makanan di daerah ini pertengahan bulan lalu yang dihadiri 230 pemilik premis berdaftar di sini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas lanjut, Dr Amirulazman berkata, seramai 23 kakitangan dari Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan PKD Jeli dan lima penguatkuasa MDJ terdiri daripada pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran serta pembantu kesihatan awam terlibat dalam operasi berkenaan.

"Kita harap dengan adanya operasi yang berterusan ini, masyarakat akan lebih peka dan mengambil berat tentang pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok. Sekiranya ada sebarang kemusykilan berhubung penguatkuasaan ini, orang ramai boleh datang ke PKD Jeli untuk mendapat maklumat lanjut," katanya.