[VIDEO] Buang peti suara demi nyawa, alat pembesar suara kini 'teman' setia

A
A
A

KOTA BHARU – Tanpa rasa sakit dan hanya bermula dengan suara yang makin perlahan, seorang pesara akhirnya disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat sehingga terpaksa membuang peti suara.

Ismail memegang alat pembesar suara untuk bercakap.
Ismail memegang alat pembesar suara untuk bercakap.

Keadaan itu menyebabkan Ismail Mamud, 68, kini bergantung sepenuhnya kepada alat pembesar suara untuk bercakap.

Bekas juruteknik jalan dan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu berkata, perubahan pada suaranya bermula kira-kira dua tahun lalu, namun pada awalnya dia tidak menyangka ia petanda penyakit serius.

“Saya cuma perasan suara jadi perlahan dan tidak berapa keluar.

“Dalam tempoh tiga hingga empat bulan, suara makin hilang, tapi saya tak rasa sakit, jadi saya ingat perkara biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan dia menghidap kanser tiroid tahap empat dan perlu menjalani pembedahan kerana sel kanser yang sudah merebak.

“Saya menjalani pembedahan selama 13 jam.

Artikel Berkaitan:

“Mulanya memang saya marah dan tak mahu buang peti suara, rasa macam hilang satu bahagian diri, tapi doktor beritahu itu sahaja cara untuk selamatkan nyawa,” katanya.

Ismail berkata, selepas pembedahan dia mempunyai tebukan kekal di bahagian leher untuk bernafas dan perlu menggunakan alat pembesar suara khas setiap kali ingin bercakap.

“Saya cepat lelah kalau bercakap lama dan makan pun kena makanan lembut.

“Guna pembesar suara ini bunyi macam robot, tapi saya dah boleh terima keadaan ini dan makin pulih,” katanya yang turut menjalani 30 sesi radioterapi serta pemeriksaan susulan setiap tiga bulan.

Dia juga tidak berselindung berkongsi sejarah dirinya sebagai perokok tegar sejak di bangku sekolah menengah.

“Saya mula merokok sejak Tingkatan Empat, sehari boleh habis dua bungkus.

“Sekarang memang sudah berhenti terus selepas disahkan kena kanser,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu menjadi pengajaran terbesar dalam hidup dan berharap orang ramai terutama golongan muda tidak mengambil mudah tabiat merokok serta perubahan kecil pada tubuh badan.

Lebih menyentuh hati, perubahan kesihatan itu berlaku kira-kira setahun selepas dia menjaga isteri pertamanya, Nik Aminah Nik Abdul Kadir, 62, yang meninggal dunia akibat kanser rahim tiga tahun lalu.

“Masa jaga arwah isteri, saya sendiri belum sakit lagi.

“Setahun saya ulang-alik hospital uruskan rawatan dia, selepas dia meninggal dunia baru suara saya mula berubah,” katanya.

Sebelum itu, dia juga kehilangan isteri keduanya, Nazirah Mat Salleh, 58, tujuh tahun lepas yang turut menghidap kanser pankreas, menjadikan penyakit itu bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan keluarganya.

Ismail yang berasal dari Ketereh berkata, sokongan 13 anaknya termasuk yang berkhidmat sebagai anggota polis, jurutera dan guru menjadi sumber kekuatan untuk dia bangkit daripada tekanan emosi selepas kehilangan suara.

“Saya dulu memang banyak bercakap dan aktif, apabila hilang suara, saya jadi murung sekejap.

“Lama-lama saya belajar terima, yang penting masih ada keluarga yang sentiasa sayang dan menjaga saya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pesara disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat dan terpaksa membuang peti suara
  • Ismail Mamud bergantung pada alat pembesar suara untuk bercakap selepas pembedahan
  • Perubahan pada suara bermula dua tahun sebelum diagnosis tanpa rasa sakit
  • Jalani pembedahan selama 13 jam dan memerlukan tebukan kekal di leher untuk bernafas
  • Merupakan bekas perokok tegar dan menerima sokongan kuat daripada 13 anaknya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!