Pelanggan merokok, peniaga roti canai pula tanggung rugi

Kedai makan Wan Nurul Hazana yang tidak dikunjungi pelanggan selepas tular isu merokok.
Kedai makan Wan Nurul Hazana yang tidak dikunjungi pelanggan selepas tular isu merokok.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga roti canai di sini terpaksa menanggung kerugian lebih 80 peratus selepas isu pelanggan merokok di kedainya tular sejak minggu lalu.

Peniaga itu, Wan Nurul Hazana Wan Khadir, 35, berkata, hasil perniagaan yang diraih sekitar RM500 hingga RM600 sehari sebelum ini berkurang sehingga RM100 kerana roti canai tidak habis dijual.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan kesedihan dirinya yang berniaga untuk membantu bapa saudara, Anuar Hamad, 45, juga pesakit jantung.

“Bukan nak mengeluh, tetapi nak beritahu, akibat kena tular pasal kakitangan hospital hisap rokok dalam kedai, kami hilang pendapatan.

“Roti canai biasanya 15 kilogram (kg) habis setiap hari, sekarang 2kg pun tak habis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Ujar Wan Nurul Hazana, kejadian itu pertama kali berlaku sejak 15 tahun berniaga di kawasan tersebut walaupun sudah meletakkan tanda larangan merokok di kedainya.

Katanya, kakitangan itu juga adalah pelanggan tetapnya kerana kedai makan terletak berdekatan hospital namun bukan semua yang merokok tetapi tindakan sesetengah mereka menyebabkan pelanggan lain takut untuk datang.

Pendapatan terjejas apabila pelanggan berkurang.
Pendapatan terjejas apabila pelanggan berkurang.

“Isu sebenar nak beritahu kakitangan yang menghisap rokok dalam kedai makan tetapi saya pula yang menanggung akibat apabila pelanggan tidak datang.

“Pihak yang menularkan perkara ini sepatutnya bertanggungjawab dan memikirkan dahulu kesan kepada peniaga seperti saya sebelum berbuat demikian,” kata wanita itu.

Ujarnya, berharap agar keadaan itu tidak berlarutan kerana dia perlu membayar gaji kepada penebar roti canai sebanyak RM50 sehari dan sewa kedai RM300.

“Saya juga berharap pihak yang menularkan perkara itu tampil membuat permohonan maaf,” katanya.