Khatam al-Quran PHN Kelantan kali ke-4 himpun 80 peserta, jemputan

KOTA BHARU – Seramai 80 peserta dan jemputan memeriahkan majlis khatam al-Quran Pesara Health Nurse (PHN) Kelantan kali ke-4 yang berlangsung di Masjid Darul Muttaqin, Hutan Pasir di Ketereh di sini.
Program yang bermula jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan 50 peserta khatam al-Quran serta 30 pendengar terdiri daripada ahli dan jemputan khas, sekali gus mencerminkan sokongan padu terhadap penganjuran aktiviti keilmuan dalam kalangan warga emas.
Musyrif Darul Muttaqin, Mohamad Zhafri Mohd Zain yang mewakili Pengerusinya, Mohamad Khalid El Muhammady Dr Uthman El Muhammady berkata, penubuhan Darul Muttaqin warga emas adalah bagi mengisi ruang sisa kehidupan golongan tersebut secara tersusun, berlandaskan silibus dan modul yang telah disediakan.
“Penubuhan ini bertujuan memberi pengisian rohani yang lebih terancang kepada warga emas agar mereka terus istiqamah menuntut ilmu dan beribadah selari dengan kehendak Islam,” katanya.
Hadir sama ialah, Pengerusi PHN Kelantan, Siti Sara Saat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PHN Kelantan kerana memilih Darul Muttaqin sebagai lokasi penganjuran majlis khatam al-Quran yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah mereka di beberapa lokasi terpilih seluruh negeri.
Ujarnya, majlis tersebut diteruskan dengan bacaan khatam al-Quran secara berjemaah dalam suasana penuh khusyuk dan harmoni, apabila para peserta bersama-sama menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran.
Dalam perkembangan sama, tambah beliau, diharap dengan penganjuran majlis tersebut dapat memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan budaya membaca al-Quran serta menjadi inspirasi kepada warga emas untuk terus aktif dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
"Program ini turut dimeriahkan dengan jamuan ringan pada sebelah pagi serta makan tengah hari kepada semua peserta dan tetamu yang hadir," katanya.
Mohamad Zhafri memberitahu, orang ramai yang ingin menderma kepada Masjid Darul Muttaqin boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 553131054497.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

