Kerajaan 'pintu belakang': Buat apa tanya saya, tanyalah PM mereka

Hishammuddin ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Hishammuddin ketika ditemui media di lobi Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melalui 'pintu belakang' yang mengenepikan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, segala usaha penubuhan kerajaan 'pintu belakang' memerlukan sokongan Perdana Menteri dan tidak boleh dijayakan oleh satu pihak dan individu sahaja.

"Pemimpin PH sepatutnya bertanya terus kepada Tun Mahathir mengenai dakwaan penubuhan kerajaan baharu melalui 'pintu belakang', bukan saya.

"Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) adalah pemimpin mereka (PH) bukan saya.

"Mengapa patut mereka menyalahkan UMNO dan (Ahli Parlimen) Sembrong," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata, tindakan pemimpin PH menjadikan beliau sebagai 'kambing hitam' juga menunjukkan kerajaan PH kini tidak kukuh dan terbukti terdapat ketidaktentuan di antara mereka.

Menurutnya, kerajaan PH sekarang dilihat takut dengan bayang-bayang sendiri sehingga terpaksa menuduh pihak lain.

"Sekarang mereka tuduh saya mahu tubuh kerajaan pintu belakang, saya tidak faham maksudnya dan hendak buat macam mana pun tidak pasti.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada bukti pun, apa yang saya boleh buat sebab saya mana ada pegang sebarang jawatan penting?

"Saya rasa mereka (PH) berasa tidak selamat, takut dengan bayang-bayang sendiri. Bila mentaliti masih pembangkang, yang jadi sasaran UMNO dan Sembrong," katanya.

Terdahulu, PH menerusi kenyataan mendakwa Hishammuddin menggerakkan pakatan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Dakwaan itu disuarakan kerana penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang kelihatan cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh kerajaan baharu: Jangan jadikan pembangkang kambing hitam

Komplot pembentukan kerajaan baharu tidak bermaruah: Khalid

Tubuh kerajaan ikut ‘pintu belakang’ gugat mandat rakyat