Malaysia kendali isu minyak sawit dengan India secara diplomasi: PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) Foto: BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) Foto: BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengendalikannya secara diplomasi sekiranya India memutuskan untuk mengehadkan import minyak sawit Malaysia.

Beliau berkata, isu spekulasi itu sekadar reaksi daripada peniaga dan setakat ini pihak kerajaan belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan India berhubung perkara itu.

"Kita belum dapat apa-apa secara rasmi. Ini reaksi orang berniaga. Oleh itu, kita tidak boleh beri maklum balas berdasarkan keputusan yang dibuat mereka secara peribadi.

"Jika kerajaan (India) melancarkan boikot atau sesuatu seumpama itu, dengan itu kami akan mengendalikannya secara diplomasi atau mengurangkan tahap tindakan yang mereka ambil," katanya kepada media selepas merasmikan Dana Pembangunan Komuniti Yayasan Sejahtera pada Forum Pembasmian Kemiskinan 2019 bersempena Hari Antarabangsa di sini hari ini.

Reuters sebelum ini melaporkan memetik sumber yang tidak dinamakan bahawa India menimbangkan langkah perdagangan punitif terhadap Malaysia susulan kenyataan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung konflik Kashmir.

Eksport minyak sawit Malaysia ke India tahun lepas bernilai AS$1.65 bilion (US$1=RM4.19) iaitu merupakan 18.3 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa berkurangnya pelaburan asing di Malaysia berpunca daripada ketidakpastian berhubung sama ada Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan nombor satu negara itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tak tahu (kurang) tapi masa (buat) pelaburan saya lihat ia membabitkan berbilion, mana ada kurang. Tetapi kita mahu lihat lebih banyak pelaburan kerana ia penting untuk mewujudkan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu harungi keadaan ini, kita hadapi masalah yang sama dahulu. Dulu pun ada percubaan untuk meruntuhkan ekonomi negara tetapi kita kena hadapi masalah,” katanya.

- Bernama