Penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 kena mohon maaf secara terbuka

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menuntut penganjur Debat Piala Tun Razak 2019 membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung dua tajuk kontroversi pada debat berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, debat berkenaan mengemukakan dua tajuk yang kontroversi iaitu mengenai Islam tidak melarang homoseksual dan penulisan semula al-Quran.

Menurutnya, pemilihan tajuk-tajuk berkenaan dilihat boleh menggugat akidah dan akhirnya dijadikan bahan mainan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di negara ini.

"Kita menuntut sekeras-kerasnya penganjur berkenaan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada pelajar atau peserta yang mendapat undi dan mendapat tajuk berkenaan selain berjanji tidak akan mengulanginya pada masa hadapan.

"Perlu diingatkan bahawa, dalam debat ini dia ada satu aspek yang dinamakan turistik, iaitu satu kebenaran yang tidak boleh disangkal lagi, 1 + 1 = 2, anda tidak boleh tukar menjadi 3 atau 4.

"Oleh itu, kita menuntut supaya pihak penganjur memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada peserta debat yang mendapat tajuk kontroversi berkenaan," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menyifatkan permohonan maaf daripada pihak penganjur berhubung perkara berkenaan masih belum mencukupi untuk diklasifikasikan sebagai permohonan maaf.

Katanya, permohonan maaf yang dibuat juga dilihat tidak serius dan datangnya daripada hakim debat berkenaan selain kepada pihak-pihak yang tersinggung.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun mereka sudah meminta maaf, tetapi bahasa yang digunakan itu masih belum lagi mencukupi untuk dikatakan permohonan maaf, sebab dia hanya memohon maaf kepada pihak-pihak yang tersinggung.

"Bagi saya rasa permohonan maaf itu tidak serius. Lagipun ia adalah daripada hakim, yang kita mahukan adalah daripada pihak penganjur program berkenaan.

"Saya juga meminta agar kerajaan memantau isu-isu seperti ini dan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah tindakan undang-undang kerana tajuk berkenaan bukan setakat bertentangan dengan Islam, bahkan bertentangan dengan rukun negara yang pertama iaitu kepercayaan kepada tuhan dan menghalalkan homoseks ini menggugat salah satu aspek kepercayaan kepada tuhan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM digesa ambil tindakan penganjur Debat Piala Tun Razak

Penganjur Debat Piala Tun Razak mohon maaf