PORT mohon maaf, tarian ekstrem di luar kawalan penganjur

(Gambar kiri) Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan sekumpulan individu menari ketika Konsert PORT Fest 2023 di Dataran Ipoh pada Ahad. (Gambar kanan) Kenyataan akhbar oleh PORT
(Gambar kiri) Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan sekumpulan individu menari ketika Konsert PORT Fest 2023 di Dataran Ipoh pada Ahad. (Gambar kanan) Kenyataan akhbar oleh PORT
A
A
A

IPOH - Pihak pengurusan agensi kreatif negeri Perak, People of Remarkable Talents (PORT) mengemukakan permohonan maaf atas insiden tarian ekstrem dilakukan sebahagian penonton sewaktu Konsert PORT Fest 2023 di Dataran Ipoh pada 20 Ogos lalu.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin menjelaskan, tarian yang dilakukan penonton ketika konsert berkenaan berlaku di luar kawalan mereka.

Menurutnya, PORT Fest 2023 yang berlangsung selama dua hari bermula 19 Ogos lalu itu merupakan sebuah festival yang dijalankan untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya.

"Sebagai penganjur, kami ingin menjelaskan bahawa insiden tarian ekstrem oleh segelintir penonton sewaktu persembahan UBS Band di konsert PORT Fest 2023 di Dataran Ipoh pada 20 Ogos 2023 adalah sesuatu yang bukan sengaja diatur dan berada di luar kawalan pihak penganjur.

"Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang ditularkan tersebut telah menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat.

"Kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nur Hanim berkata, tujuan utama penganjuran festival tersebut adalah untuk memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih daripada 300 penggiat seni di Perak.

Katanya, program itu berjaya menarik sekitar 20,000 orang pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman, produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan serta penyewaan penginapan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, video berkenaan tular di media sosial memaparkan beberapa individu menari secara spontan ketika berada di konsert tersebut.

Tindakan itu kemudiannya menerima pelbagai kecaman dan maklum balas pelbagai pihak yang mempersoalkan aktiviti seumpama itu diadakan di negeri tersebut.