ADUN Tungku digesa buat permohonan maaf isu Ambalat

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian digesa membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai kenyataan beliau bahawa kerajaan Pusat telah menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi, Indonesia.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Assaffal berkata demikian di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada sidang DUN Sabah pada minggu lalu.

"Video mengenai ucapan itu telah disebar luas melalui rakaman video dan ini jelas satu perbuatan amat tidak bertanggungjawab dan juga mengancam kedaulatan negara.

"Kenyataan media Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin hari ini secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

"Mohamad Alamin juga turut menegaskan sebagai Ahli Parlimen daripada Sabah, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Zulkarnain berkata, ketika ini bukan sahaja sasaran fitnah terarah kepada Datuk Seri Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah tetapi juga terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Justeru G57 mendesak agar ADUN Tungku segera membuat permohonan maaf kepada kerajaan termasuk seluruh rakyat Sabah dan turut menggesa dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan selepas sengaja berbohong dan mengelirukan DUN," katanya.

Sebelum itu, video ucapan perbahasan Assaffal menyatakan kerisauannya supaya kerajaan Sabah tidak melakukan kesalahan yang dilakukan sebelum ini berikutan isu Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA).

Artikel Berkaitan: