Tabung duit tahfiz lesap

Kurasidah menunjukkan rakaman kamera litar tertutup kejadian seorang lelaki melarikan tabung duit pondok tahfiz yang diletakkan di kaunter pembayaran di sebuah restoran di Wakaf Bharu.
Kurasidah menunjukkan rakaman kamera litar tertutup kejadian seorang lelaki melarikan tabung duit pondok tahfiz yang diletakkan di kaunter pembayaran di sebuah restoran di Wakaf Bharu.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki melarikan tabung kutipan derma pondok tahfiz dengan menyembunyikan dalam jaket dalam satu kejadian di sebuah restoran dekat Wakaf Bharu.

Ketika kejadian, lelaki berusia 20an itu berpura-pura menjadi pelanggan duduk di meja berdekatan kaunter pembayaran.

Bagaimanapun kejadian jam 6.22 petang pada Jumaat lalu disedari pekerja restoran terbabit apabila melihat tabung untuk pelajar tahfiz Tok Jong, di Patani lesap.

Pekerja restoran terbabit, Kurasidah Tok Nik, 36, berkata, sebelum itu lelaki terbabit memesan minuman teh o ais.

"Dia tergesa-gesa meminumnya dan kemudian ke kaunter untuk membayar bil.

”Minuman itu hanya RM1 dan ketika mahu membuat pembayaran, dia meletakkan jaketnya di atas tabung wang itu.

"Sebaik selesai membuat bayaran, dia menarik tabung itu bersama jaketnya, ketika itu saya ada di belakangnya, saya tidak perasan dia ambil tabung itu dan lesap bersama motosikalnya," katanya ditemui di restorannya di Wakaf Bharu di sini hari ini.

Sejak semalam tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup yang sempat merakam wajah lelaki terbabit melarikan tabung tahfiz di restoran terbabit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun sepupu pemilik restoran dikenali Amri memaklumkan tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian ini.

Amri berkata, wang di dalam tabung tersebut bukannya banyak kerana sebelum ini sudah dikosongkan selepas terkumpul RM400.

"Saya perasan tabung ini hilang selepas dua minit lelaki itu keluar apabila ke kaunter pembayaran.

"Ada lima tabung semuanya diletakkan di meja kaunter pembayaran untuk meminta sumbangan orang ramai.

"Hanya satu tabung lesap dan saya berharap peniaga lain turut berhati-hati khuatir kejadian seperti ini berulang di tempat lain," katanya.