Dua ditahan kes tembak mati seorang lelaki

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LANGAT - Dua individu telah ditahan berhubung kes tembak mati seorang lelaki di Sungai Jarom di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 32 tahun itu ditahan di pekan Banting, di sini, pada jam 6.30 petang, Selasa.

"Kedua-dua lelaki itu direman tiga hari sehingga Jumaat, kita masih giat mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Ridhwan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Pada Sabtu, media melaporkan polis giat memburu empat individu untuk membantu siasatan kes tersebut.

Berdasarkan maklumat saksi kejadian, terdapat empat lelaki memakai topi keledar dan cermin gelap berada di lokasi ketika kejadian tembakan berlaku.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis, mangsa berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepala.

Pemeriksaan pasukan forensik polis Kontinjen Selangor telah menemui lima kelongsong peluru.

Semakan mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan.