Tak hadir bertugas antara kesalahan kerap petugas penjara

- Foto Bernama
- Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Tidak hadir bertugas antara jenis kesalahan yang sering dilakukan oleh kakitangan penjara.

Pengarah Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdul Kadir Rais berkata, tidak hadir bertugas paling kerap dilakukan oleh kakitangan diikuti dengan kesalahan menyeludup artikel (barang) larangan.

“Kesalahan menyeludup artikel larangan ini seperti rokok, tembakau dan telefon bimbit...banyak kes ini kita serahkan kepada pihak polis," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan ke-62 peringkat Negeri Selangor di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.

Namun beliau tidak mendedahkan jumlah petugas yang terlibat.

Turut hadir Pengarah Maktab Penjara Malaysia, Datuk Narander Singh.

Abdul Kadir turut menjelaskan, kes-kes yang pernah berlaku melibatkan kesalahan menyeludup artikel larangan seperti kakitangan menyeludup barangan larangan dari luar dan dibawa masuk untuk diberi kepada penghuni penjara.

Namun, katanya dalam kes berlainan terdapat juga penghuni yang menyeludup artikel larangan ini untuk kegunaan sendiri.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kakitangan penjara yang melanggar peraturan, mereka akan dirujuk ke lembaga tatatertib di peringkat negeri dan di peringkat ibu pejabat yang mana staf penjara boleh dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga lakukan program meningkat prestasi kepada kakitangan seperti kerja-kerja sosial seperti berkawad, sesi kelas kaunseling, ceramah dan kerja-kerja kebajikan,” katanya.

Beliau turut menyeru kakitangan penjara agar tidak melakukan perkara bercanggah dengan peraturan dan mengamalkan kerja yang bersih dari aspek keselamatan dan pemulihan penghuni penjara.

“Seramai 13,708 penghuni penjara di Selangor. Kalau kita tiada anggota yang bersih, bagaimana kita mahu pulihkan mereka dan bagaimana kita untuk kembalikan mereka kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, pelancaran kempen berkenaan turut diikuti dengan majlis pemakaian pangkat kepada 53 kakitangan penjara di Selangor dan Kuala Lumpur selain pemasangan bendera pada kenderaan Jabatan Penjara, pasukan konvoi bermotosikal dan pasukan berbasikal.- Bernama