Bapa Ainul Mardhiah anjur kempen bantu bawa pulang Prof Ab Rahim

Ahmad Saifuddin turut berkongsi poster di hantaran Facebooknya yang terkandung beberapa maklumat termasuk nombor akaun pemegang amanah bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan.
Ahmad Saifuddin turut berkongsi poster di hantaran Facebooknya yang terkandung beberapa maklumat termasuk nombor akaun pemegang amanah bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bapa Ainul Mardhiah menggerakkan kempen peribadinya untuk mengajak orang ramai menghulurkan bantuan bagi membawa pulang seorang bekas pensyarah UKM yang koma di Turki pulang ke Malaysia.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, inisiatif itu dibuat selepas keluarga Prof Ab Rahim Ismail menyatakan kesulitan membawa pulang pensyarah itu kerana memerlukan perbelanjaan besar selain kos rawatan yang tinggi.

“Saya harap kita semua dapat membantu seorang sedikit dalam usaha membawa Prof Ab Rahim Ismail yang ketika ini diuji supaya dapat pulang dan dirawat di Malaysia.

“Saya bantu kongsi ini sebab dahulu ramai orang sudah membantu menjayakan proses rawatan Ainul Mardhiah. Kini giliran saya pula berbakti sekadar kemampuan saya kepada orang yang memerlukan,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Dia turut memberikan sumbangan peribadinya kepada keluarga berkenaan dan berharap orang ramai dapat bersama menyumbang bagi meringankan beban keluarga terbabit.

"Insya-ALLAH perbuatan baik kita pada hari ini, ALLAH akan memberi ganjaran yang setimpal kepada kita, jika tidak di dunia pasti di akhirat kelak,” katanya.

Menerusi akaun laman sosialnya itu, Ahmad Safiuddin turut berkongsi poster yang terkandung beberapa maklumat termasuk nombor akaun pemegang amanah bagi membolehkan orang ramai menghulurkan bantuan.

Semalam, Sinar Harian melaporan keluarga kepada bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kini dirawat di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan dan membawanya pulang ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menantunya, Muhamad Fikri Aziz, 33, berkata, pihaknya memerlukan kira-kira RM400,000 bagi menampung kos perubatan, penerbangan dan lain-lain perbelanjaan berkaitan urusan membawa pulang Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Akademik dan Pengantarabangsaan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Kuala Lumpur itu.