Tak perlu takut dengan tulisan jawi

Edry Faizal Eddy Yusof
Edry Faizal Eddy Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat digesa membebaskan diri daripada sebarang bentuk ketakutan yang tidak rasional terhadap tulisan jawi berikutan pengenalan tulisan itu dalam subjek Bahasa Malaysia.

Ahli Majlis Eksekutif DAP Kebangsaan (DAPSY), Edry Faizal Eddy Yusof berkata, ada sebahagian masyarakat bimbang ia akan menambah beban guru dan murid dalam mendalami mata pelajaran.

“Tidak salah isu ini dibincangkan atas semangat mahukan pendidikan terbaik buat anak-anak. Namun keadaan boleh bertukar parah jika kegusaran berlebihan berdasarkan sangkaan buruk daripada kurangnya maklumat atau ketakutan tanpa asas jelas.

“Tidak kiralah ketakutan tidak rasional pada lambang salib atau pun tulisan jawi, keharmonian hanya dapat dicapai sekiranya kita bersedia untuk mengendurkan keresahan kita dan saling belajar dan memahami,” katanya dalam satu kenyataan.

Edry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua berkata, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan Bahasa Malaysia hendaklah menggunakan tulisan rumi.

“Tiada halangan untuk menggunakan tulisan jawi namun atas sebab praktikal dan keseragaman jarang sekali menggunakan tulisan jawi. Ramai kurang memahami bahawa tulisan jawi digunakan penduduk Tanah Melayu dan Singapura sebelum merdeka.

"Tulisan rumi kemudian diperkenal dan dijadikan tulisan rasmi Bahasa Malaysia. Sekitar tahun 80-an, tulisan jawi turut pernah terkandung dalam silibus pembelajaran subjek Bahasa Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ia bukanlah satu bahasa yang seluruhnya baru sebaliknya hanya bentuk tulisan yang juga sebahagian daripada sejarah Bahasa Malaysia itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada mana-mana pihak cuba menggambarkan tulisan jawi adalah hak mutlak kaum atau agama mereka yang patutnya disalahkan adalah pihak itu bukannya tulisan jawi,” katanya.

Menurutnya, pengenalan enam muka surat mengenai tulisan jawi adalah pengenalan mengenai sejarah Bahasa Malaysia yang pernah menggunakan tulisan jawi sebagai skrip tulisan.

“Jika kita lihat enam muka surat yang melibatkan pengenalan tulisan jawi ini daripada segi kaca mata pendidikan, jelas bahawa tujuannya bukan untuk penguasaan tulisan jawi.

“Ia sebenarnya tidak cukup untuk membolehkan mana-mana pelajar memahami apatah lagi menguasai tulisan jawi kerana hanya sekadar modul sampingan subjek Bahasa Malaysia yang melibatkan unsur sejarah dan seni semata-mata,” katanya.

Menurutnya, jika pihak terbabit memahami tulisan jawi dengan hati yang lapang tiada apa yang perlu ditakutkan baik pelajar sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan.

“Jawi-phobia hanyalah berdasarkan sentimen yang meletus luar dari kenyataan realiti sebenar.

“Sewajarnya kita meraikan kepelbagaian dalam silibus pendidikan agar rakyat Malaysia mengetahui kemajmukan rakyat kita dan keunikannya,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching baru-baru ini mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.