UPM pandang serius isu integriti

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Putra Malaysia (UPM) memandang serius amalan tidak berintegriti golongan akademik di universiti yang melibatkan sebarang bentuk eksploitasi, plagiat, atau mencuri hasil kerja pelajar.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Aini Ideris berkata, UPM tidak akan bertolak ansur dengan amalan sebegitu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap staf atau pelajar yang terlibat dalam amalan tersebut.

Menurutnya, Unit Integriti di bawah Pejabat Naib Canselor diberi tanggungjawab mengendalikan semua kes integriti yang akan dirujuk kepada beberapa jawatankuasa berkaitan untuk siasatan dengan kaedah yang berstruktur dan profesional.

“Kes akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan sekiranya wujud unsur plagiat suatu Jawatankuasa Siasatan Dalaman ditubuhkan bagi menyiasat dan mendapatkan fakta lanjut sekiranya perlu.

“Antara jawatankuasa bertindak adalah seperti Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dan Staf, Jawatankuasa Etika Penyelidikan Universiti, Jawatankuasa Salahlaku Penyelidikan Universiti dan Jawatankuasa Penulisan Akademik dan Penerbitan Universiti. “Satu lagi platform untuk membincangkan isu plagiat ini ialah Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) yang akan membincangkan isu-isu berkaitan integriti termasuklah plagiat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang dilaporkan berkata mengenai amalan tidak berintegriti golongan akademik di universiti yang mengeksploitasi dan mencuri hasil kerja pelajarnya demi mencapai penunjuk prestasi utama (KPI).

Tambah Aini, semua jawatankuasa itu diberi kuasa untuk menyiasat secara bebas berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa termasuk untuk kes-kes integriti akademik seperti plagiat dalam makalah, jurnal atau tesis.

“Langkah yang telah diambil selama ini melalui pembentukan ekosistem pemantauan dan penguatkuasaan yang komprehensif bagi menangani kes seperti ini membuktikan komitmen UPM dalam mengukuh dan memartabat universiti sebagai institusi pendidikan berintegriti. “Justeru UPM ingin menzahirkan komitmen bahawa akan sentiasa memelihara integriti akademik dan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku integriti akademik,” tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, UPM juga mempunyai saluran aduan yang boleh dicapai oleh semua staf, pelajar dan orang awam sekiranya mereka mahu melaporkan sebarang amalan tidak berintegriti kepada universiti berkenaan.

“Mana-mana pihak yang ingin memberi maklum balas atau melaporkan sebarang salah laku boleh menggunakan sistem U-Respon yang dikendalikan secara telus. Sistem ini dipantau secara harian dan setiap aduan yang diterima diteliti dan diambil tindakan dengan segera.

“Aduan juga boleh dibuat melalui surat atau emel secara terus kepada Naib Canselor atau mana-mana pegawai universiti yang berkaitan. Aduan melalui kaedah ini juga akan disiasat dan diambil tindakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.