MAIS pandang serius, pantau ajaran pelik pesantren

Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa.
Laporan akhbar Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius ajaran sesat yang didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, setakat ini, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara itu.

Menurut beliau, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa bekerjasama dengan polis bagi memantau pergerakan ajaran sesat di negeri ini agar tidak terus menular.

"Ajaran sesat ini mereka bukan sahaja pergi ke Indonesia, tetapi dalam negeri (Selangor) ini pun banyak ajaran sesat yang kita kenal pasti dan pantau supaya mereka tidak terus sesat," katanya.

Abdul Aziz (kiri) beramah-mesra dengan pelajar tahfiz semasa Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam di sini pada Khamis.
Abdul Aziz (kiri) beramah-mesra dengan pelajar tahfiz semasa Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat Peringkat Kebangsaan 2023 di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Khamis.

Abdul Aziz berkata, MAIS juga bersedia berurusan dengan pihak berkuasa di Indonesia atau kerajaan di negara itu sekiranya ada rakyat di negeri ini terlibat dan mengikuti majlis kontroversi berkenaan.

Ujarnya, dalam usaha membendung penularan ajaran sesat di Selangor misalnya, MAIS menyediakan tempat pemulihan untuk mereka kembali kepada syariat Islam sebenar di Baitul Iman, Ulu Yam Hulu Selangor.

"Kita panggil mereka (individu atau kumpulan ajaran sesat) ini dan kita perbetulkan supaya mereka tidak terus tersesat," jelas beliau.

Bagaimanapun, jelas beliau, pergerakan ajaran sesat di Selangor misalnya sukar dikesan kerana memerlukan operasi strategik bagi mengetahui penularan ajaran tersebut.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan sebarang ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah umat Islam sebaliknya perlu merujuk guru bertauliah.

"Paling penting, kita kena ingatkan penduduk di Malaysia bahawa ajaran sesat ini mereka kadang-kadang salah faham dan tidak jelas tentang akidah," jelasnya.

Kontroversi melibatkan pesantren mula memuncak apabila pengasasnya meminta pengikut menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew.

Selain itu, khutbah solat Jumaat di sekolah berkenaan disampaikan seorang wanita dan cara laungan azan pelajarnya menghadap jemaah sekali gus mengelirukan orang ramai.