Empat lelaki edar dadah berbentuk cecair untuk vape ditahan

Sammy (tiga dari kanan) menunjukkan barang rampasan disyaki dadah.
Sammy (tiga dari kanan) menunjukkan barang rampasan disyaki dadah.
A
A
A

PENAMPANG - Empat lelaki ditahan selepas disyaki terlibat mengedar dadah dalam bentuk cecair untuk rokok elektronik di sekitar daerah ini pada Selasa lalu.

Dalam beberapa siri serbuan, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 31 tahun itu ditahan bersama cecair yang disyaki mengandungi dadah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, serbuan pertama dilakukan pada jam 10 malam Selasa oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sebuah kawasan perumahan di sini.

"Pasukan serbuan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah jenis cecair berperisa untuk vape.

"Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui satu kotak berisi botol plastik dan mengandungi cecair jernih disyaki dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sammy berkata, hasil siasatan terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di lokasi perumahan sama dan dua lelaki berjaya ditahan.

"Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 29 dan 31 tahun itu dipercayai rakan suspek dan hasil pemeriksaan menemui satu kotak mengandungi empat kotak didalamnya berisi cecair juga disyaki sebagai dadah.

"Siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga tangkapan telah membawa serbuan ketiga di tepi jalan Kampung Dumpil pada jam 12.05 tengah malam Rabu dan seorang lelaki berusia 23 tahun turut ditahan bersama barang rampasan iaitu lima kotak berisi cecair disyaki dadah.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan seterusnya di kediaman suspek turut menemui satu kotak besar mengandungi 21 botol plastik berisi cecair sama," katanya.

Sammy berkata, kesemua suspek dibawa ke IPD Penampang dan hasil ujian air kencing didapati positif dadah jenis ganja.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 31 botol cecair untuk vape disyaki mengandungi dadah dengan anggaran berat 310 milimeter dan bernilai RM5,600.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan Sammy berkata, IPD Penampang turut berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah jenis pil erimin dan syabu di sebuah apartment di daerah ini pada Ahad lalu.

"Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan bersama tiga biji pil erimin dan syabu seberat 50.53 gram bernilai RM10,200.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!