Tak sempat joli, dua lelaki ditahan selepas setengah jam menyamun

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan. - Foto PDRM
Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup di premis berkenaan. - Foto PDRM
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki tidak sempat berseronok dengan hasil samun apabila ditahan polis setengah jam selepas melakukan jenayah itu di sebuah restoran 24 jam di S2 Height di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian pada jam 5.10 pagi itu berlaku ketika tiada pelanggan berada di restoran tersebut.

"Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pembantu restoran melaporkan premisnya disamun dua lelaki bersenjatakan parang dan cota.

"Hasil siasatan mendapati suspek meluru masuk dalam premis dengan mengacukan senjata berkenaan ke arah pekerja seterusnya mengambil sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan tablet milik restoran di kaunter juruwang. Pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM2,400," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, bertindak atas maklumat, suspek berusia 19 dan 21 tahun berjaya ditahan di Taman Permai, Seremban kira-kira jam 5.45 pagi iaitu kira-kira setengah jam selepas melakukan jenayah tersebut.

"Pihak polis turut membuat rampasan beberapa barang kes termasuklah sebuah motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian ini.

"Suspek direman selama enam hari bermula Jumaat bagi melengkapkan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.