SG4 fokus lima kluster, tingkat daya saing, daya tahan

Ahmad Samsuri ketika ucapan penggulungan persidangan DUN Terengganu pada Rabu. - Foto kerajaan negeri Terengganu
Ahmad Samsuri ketika ucapan penggulungan persidangan DUN Terengganu pada Rabu. - Foto kerajaan negeri Terengganu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat kerajaan negeri ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) atau 'State-Goverment 4' (SG4) merupakan sebuah kerjasama rasmi secara strategik dan berfokus yang tidak mengikat antara kerajaan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, SG4 akan memfokuskan kepada lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan termasuk industri pelancongan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; dan sumber dan pendapatan baharu.

Menurutnya, perkara yang dirangkakan menerusi SG4 adalah untuk memberi nilai tambah selain elemen baharu boleh diusahakan bagi membantu sesama negeri yang ada dalam gabungan tersebut.

"SG4 ini adalah kerjasama strategik antaranya disebabkan ia mempunyai populasi berjumlah 5.47 juta orang atau 16.7 peratus daripada keseluruhan jumlah populasi Malaysia.

"Jadi kerjasama antara negeri-negeri ini akan meningkatkan lagi agregat permintaan di negeri-negeri ini. SG4 mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian.

"Sehingga 2020, jumlah keluasan guna tanah semasa tanaman makanan di SG4 baru mencecah 40.68 peratus daripada keseluruhan 998,560.71 hektar. Selain itu, terdapat kira-kira 15,344 hektar lagi tanah terbiar di mana sesuai dibangunkan untuk pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, SG4 mempunyai sejumlah 161,285 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau 15 peratus daripada keseluruhan jumlah PMKS di Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dengan meluaskan rangkaian dan perkongsian pintar dalam kalangan PMKS di semua negeri SG4 maka, ia akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik di setiap negeri.

"Selain itu, SG4 mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM161.1 bilion pada 2022, hasil hubungan dagang dengan pelbagai negara.

"Hubungan setiap negeri dengan negara rakan dagang yang berbeza akan turut dapat membawa manfaat kepada SG4 yang lain.

"SG4 dapat membentuk kuasa rundingan yang lebih progresif dengan kerajaan Persekutuan bagi menjamin hak dan tanggungjawab setiap negeri ini dan Persekutuan sama-sama dilindungi dan ditunaikan, selari dengan kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan," jelasnya.

Ahmad Samsuri menambah, kerjasama strategik itu adalah bermatlamatkan untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan (resilient) di empat negeri berkenaan, pentadbiran yang berkesan dan kewangan yang kukuh.

"Selain itu, sosio ekonomi yang mampan dan pembangunan yang lestari; menerusi pengkongsian intelektual dan pelbagai sumber secara optimum antara negeri-negeri, termasuklah di syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun di negeri-negeri terbabit," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, penglibatan beberapa tokoh yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam bidang-bidang tertentu juga akan digunakan sebaiknya bagi meraih manfaat kepada SG4.

"Ketika ditanya tentang kenapa melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam urusan pro bono ini, saya menjelaskan SG4 adalah pendekatan 'non-partisan'.

"Ini kerana kita sangat terbuka untuk menerima siapa jua yang ingin membantu," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menyatakan atas semangat untuk meneguhkan amalan federalisme yang semakin mencair maka SG4 dibentuk.

Justeru, beliau berkata, tidak ada pihak yang sepatutnya merasa terancam dengan penubuhan SG4, sebaliknya adalah wajar semua pihak memberikan sokongan dan dukungan terhadap gabungan tersebut.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang berlangsung sejak Selasa lepas ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!