Kerajaan negeri akan bincang urus perpindahan penduduk

Mohd Jafni (kiri), berkata sesuatu ketika melakukan lawatan berkenaan.
Mohd Jafni (kiri), berkata sesuatu ketika melakukan lawatan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri bakal mengadakan perbincangan dengan penduduk Kampung Dato Hajah Hasnah dalam usaha menguruskan perpindahan mereka ke empat pangsapuri di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) dekat sini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, perbincangan itu dijangka dibuat dalam masa terdekat agar penduduk boleh mula keluar dari kawasan setinggan berkenaan secara beransur-ansur.

Malah katanya, sebelum ini, penduduk telah dipindahkan ke pangsapuri di EDL melibatkan Pangsapuri Taman Desa Belantik, Pangsapuri Desa Melayu, Pangsapuri Dato' Hajah Hasnah dan Pangsapuri Desa Jaya.

“Pada tahun lalu, ramai di antara mereka telah mendapat kunci rumah pangsapuri itu tetapi enggan berpindah kerana ada beberapa isu seperti bau najis, sistem perparitan dan sebagainya...jadi kita di pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM24 juta untuk selesaikan isu ini.

"Oleh itu, bagi penduduk setinggan di Kampung Dato' Hajah Hasnah, tempat yang ditawarkan kepada mereka adalah di empat pangsapuri di EDL yang mempunyai 2,200 unit secara keseluruhannya.

“Ini kerana, mengikut Dasar Kerajaan Negeri, jika penduduk setinggan itu merupakan warga tempatan, kita (kerajaan negeri) bertanggungjawab mencari rumah untuk ditawarkan kepada mereka. Itu kaedahnya tapi jika melibatkan warga asing, kita memang tidak bertolerasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan serta tinjauan di Taman Desa Kempas dekat sini petang Selasa lalu.

Untuk rekod, kira-kira 100 buah keluarga setinggan di Kampung Dato'Hajah Hasnah menzahirkan kebimbangan setelah menerima notis pencerobohan tanah kerajaan dan diarahkan mengosongkan kawasan tersebut.

Malah, penduduk juga semakin bimbang apabila beberapa rumah di kawasan setinggan itu telah dirobohkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Mengulas mengenai tindakan (roboh) berkenaan, Mohd Jafni berkata, ia hanya melibatkan rumah setinggan yang didiami oleh warga asing setelah sekian lama dibiarkan kosong, tanpa penghuni.

Bagaimanapun katanya, tindakan roboh itu sebenarnya dilakukan hasil penilaian dan implikasi undang-udang menerusi jawatankuasa (task force) yang diwujudkan.

“Untuk robohkan satu-satu rumah di Johor, bukan boleh roboh begitu sahaja. Tetapi, di peringkat Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru, rumah setinggan yang lama dan kosong serta yang diduduki warga asing akan dirobohkan.

“Jadi sebanyak 23 unit rumah setinggan kosong dan didiami warga asing telah kita robohkan setakat 26 Jun lalu kerana jika dibiarkan dikhuatiri ada orang lain pula yang akan masuk atau rumah itu disewakan pula kepada pihak ketiga,” ujarnya.