Isu tanah, kediaman dapat perhatian kerajaan negeri

Wan Rosdy ketika berucap dalam karnival tersebut.
Wan Rosdy ketika berucap dalam karnival tersebut.
A
A
A

BENTONG - Isu tanah serta kediaman untuk generasi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mendapat perhatian kerajaan negeri yang mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi isu tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, warga peneroka termasuk generasi baharu Felda merupakan sebahagian daripada yang telah memberi sumbangan kepada pembangunan sosial serta ekonomi negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan pengurusan hak milik 95 peratus daripada 43,126 peneroka Felda seluruh Pahang yang telah pun menerima surat hak mereka.

"Lima peratus lagi akan menyusul kemudian kerana ada isu teknikal ada waris tak tanda tangan...ada kematian.

"Selain daripada itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta untuk menyiapkan Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di negeri ini.

"Kita telah banyak mendapat aduan pembeli-pembeli termasuk di kawasan Felda saya, jadi kerajaan negeri ada sedikit wang hasil yang diperolehi lebih RM1 bilion tahun lepas, kita gunakan untuk memperbaiki rumah terbengkalai dan kini ia hampir siap," kata beliau dalam ucapannya sempena Karnival Segalanya Felda di Felda Chemomoi di sini pada Isnin.

Wan Rosdy (tengah) ketika tiba bersama Anwar dalam karnival tersebut di Felda Chemomoi di Bentong pada Isnin.
Wan Rosdy (tengah) ketika tiba bersama Anwar dalam karnival tersebut di Felda Chemomoi di Bentong pada Isnin.

Karnival tersebut dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Artikel Berkaitan:

Ujar Wan Rosdy lagi, Felda juga telah pun menyerahkan 1,840 unit di 10 tapak pembinaan sekitar negeri ini untuk disambung semula pembinaan.

Jelas beliau, peruntukan yang besar itu membuktikan kerajaan negeri serius dalam membantu generasi baharu Felda.

"Selain itu, hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Felda, maka projek ini kita jenamakan semula sebagai Skim Rumah Pahang di mana pemilihan pembeli yang layak akan diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) melalui sistem e-Perumahan.

"Baru-baru ini pula, kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytiharkan 18 kawasan dalam wilayah Felda sebagai Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu Felda Pahang khusus untuk generasi baharu Felda," jelas Wan Rosdy lagi.

Jelas beliau, melalui skim tersebut, generasi baharu Felda akan berpeluang untuk membina rumah kediaman mereka di atas tanah yang akan diberi milik oleh kerajaan negeri dengan infrastruktur khususnya akses ke setiap lot akan disediakan oleh pihak Felda.

"Saya berharap, pelaksanaan SSTR Generasi Baharu Felda Pahang ini membolehkan generasi baharu Felda di negeri Pahang memiliki kediaman yang selesa beserta kemudahan infrastruktur mencukupi bagi menjalani kehidupan sejahtera bersama keluarga," ujar beliau lagi.