Reformasi Pendidikan: Ini cadangan dikemukakan Perikatan Nasional

Masanya telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam untuk memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan masyarakat dan negara yang berteraskan ilmu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Masanya telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam untuk memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan masyarakat dan negara yang berteraskan ilmu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

MASANYA telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam untuk memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan masyarakat dan negara yang berteraskan ilmu.

Kita perlu membuat penilaian, penambahbaikan dan pendekatan baru, dengan sense of urgency.

Bertanya dan menjawab soalan-soalan yang sukar (the hard questions).

Justeru, Perikatan Nasional (PN) mencadangkan supaya digerakkan Reformasi Pendidikan yang komprehensif, yang meliputi semua aspek, iaitu falsafah, dasar, undang-undang, ekosistem, kurikulum, TEVT, sumber manusia, mutu dan penghakupayaan pensyarah/guru dan pelajar, teknologi digital, kebolehpasaran graduan, perpaduan, pengantarabangsaan, peranan ibu bapa dan alumni, kerjasama semua pemegang taruh dan kewangan.

Cadangan ini, dan perkara-perkara pokok kandungannya, telah dibentangkan dalam ucapanucapan Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi PN serta 14 orang Ahli Portfolio ini, di Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas; iaitu ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 16 Februari 2023, dan ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada 28 Februari 2023.

Matlamat

Menegas-semula, memperbaharui dan memperkukuh matlamat melahirkan generasi yang memiliki peribadi bersepadu secara multi-dimensional (insaniah, pandangan sarwa, ilmu, kemahiran, daya saing) yang bersifat kontemporari dan futuristik.

Perkara-perkara yang perlu ditangani

Di bawah ini ialah antara perkara-perkara (cabaran-cabaran dan isu-isu) yang perlu ditangani dalam kerangka Reformasi Pendidikan:

Falsafah dan Dasar

- Penilaian tentang sejauhmanakah Falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan benarbenar dilaksanakan, dan penambahbaikannya, supaya sesuai dengan tuntutan kontemporari dan masa depan. - Penekanan terhadap maksud ‘Kecemerlangan dengan Roh’ (Excellence with Soul). - Menetapkan bahawa matlamat pendidikan negara ialah untuk melahirkan ‘insan baik’ (good man), dan bukannya sekadar ‘pekerja baik’ (good worker). - Memperkasa penghayatan Budaya Ilmu. - Menambahbaik bidang-bidang atau elemen-elemen dalam konsep ‘pendidikan bersepadu’, iaitu merujuk soal pelaksanaan kesepaduan itu sendiri. - Menambahbaik pelaksanaan Islamisasi dan integrasi ilmu, serta de-westernisation and de-colonisation of knowledge.

Aliran, Sistem dan Kurikulum

- Menilai kedudukan pelbagai aliran/sistem persekolahan yang wujud (SK, SJKC, SJKT, sekolah agama, sekolah integrasi, sekolah vokasional, sekolah sukan, sekolah pendidikan khas, SBP, MRSM, sekolah swasta, sekolah antarabangsa) dan home schooling. - Memperkukuh kurikulum pendidikan supaya menumpu kepada perkara-perkara yang benar-benar fundamental, meningkatkan prestasi pelajar, menangani underachievers/late bloomers, menghapuskan keciciran dan menyusun-semula nisbah STEM (60:40 kepada nisbah baru). - Meningkatkan ‘pendidikan teknologi digital yang manusiawi’, iaitu keseimbangan antara menguasai dan mendepani teknologi terkini serta menangani isu-isu kemanusiaan akibatnya. - Meningkatkan jumlah graduan yang memiliki kelayakan profesional (completing the last mile). - Memperkasa TEVT (penetapan model utama, penyelarasan sub-sistem, kursus praktikal, akreditasi) supaya menjadi pilihan utama pelajar dan ibu bapa. - Meluaskan kemudahan Pendidikan Khas (kewujudannya di daerah-daerah, sumber manusia, kelengkapan dan peralatan). - Pelajar yang memiliki Pandangan Sarwa (world view) yang harmoni dan global, iaitu soal perpaduan tempatan dan pengantarabangsaan yang berkait dan komprehensif. - Memperkasa tulisan jawi. - Memperkasa kokurikulum (sukan, seni budaya, debat, teknologi dan keusahawanan), termasuk menukar nisbah akademik:korikulum (90:10) kini kepada nisbah yang lebih seimbang (70:30).

Sumber Manusia

- Meningkatkan mutu, skim perkhidmatan dan penghakupayaan pensyarah dan guru, termasuk menangani isu guru-guru yang bersara awal. - Meningkatkan kebebasan akademik dan peranan intelektual awam (public intellectual). - Memperbanyakkan jumlah dana penyelidikan dan memperbaiki penyelarasan pengurusan dana ini di kalangan kementerian/agensi berkaitan. - Meringankan beban tugas guru dengan menambah jumlah guru pembantu dan kerani.

Penghakupayaan dan Kebolehpasaran Pelajar

- Memperkasa penghakupayaan pelajar, termasuk dalam proses membuat keputusan. - Menilai soal mis-match dan jurang antara bilik darjah dengan tempat kerja, dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Perundangan dan Governans

- Menggantikan AUKU dengan perundangan baru yang lebih baik dan komprehensif. - Menambahbaik pengurusan sekolah-sekolah agama. - Mengadakan insentif cukai yang kreatif (Alumni, PIBG, swasta, dll untuk akademik, kokurikulum, bangunan, kelengkapan, peralatan, dll) - Melaksanakan Governans Baru yang menggabung-jalin semua pemegang taruh (kerajaan, pendidik, profesional/pakar, alumi, ibu bapa, pelajar, swasta, dll) dalam kerangka perundingan antara rakan-pembangunan.

Proses

Menggerakkan agenda Reformasi Pendidikan perlu melalui proses tertentu, antaranya:

- Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi PN menyediakan Kertas Cadangan Reformasi Pendidikan. - Cadangan ini bersifat complementary dengan inisiatif-inisiatif yang sedang diambil oleh KPM, KPT dan pemegang-pemegang taruh yang lain. - Kerja-kerja Reformasi Pendidikan perlu melibatkan kedua-dua KPM dan KPT secara bersekali, bukannya berasingan, dan memerlukan kerjasama kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan. - Libat-urus dengan pemegang-pemegang taruh. - Pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Bangsa, Sumber Manusia dan Pendidikan dan platform-platform yang berkaitan. - Keputusan Kabinet

* Kenyataan dan pandangan ini dikeluarkan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Ahli-ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional.