Berlaku adil penawar kenaikan harga barang, krisis ekonomi - Nik Abduh

NIK ABDUH. - Foto Bernama.
NIK ABDUH. - Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpandangan penawar bagi kenaikan harga barang, krisis ekonomi dan makanan adalah berlaku adil dalam kehidupan.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Syura Ulama Pas turut meminta semua pemimpin supaya kembali kepada ALLAH SWT kerana golongan yang berlaku adil akan di tempatkan di sisi-Nya di dunia dan akhirat.

Menurutnya, rakyat juga disarankan bersatu hati dan menyahut seruan amar makruf nahi mungkar selain menasihati kerajaan sama ada dengan cara yang lembut atau tegas.

“Orang-orang kaya yang bertakwa amat besar peranannya. Merekalah sebenarnya punca kerosakan di bumi, merasuah pemimpin politik dan memerah keringat rakyat tanpa belas kasihan.

“Mereka (orang kaya) yang bertakwa ialah umpama orang berilmu, memuliakan kehidupan bangsa dengan ilmu dan kebajikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau mengulas isu kenaikan harga barang dan krisis ekonomi dalam negara selain menyifatkan ia sebagai bala diturunkan ALLAH SWT.

Bekas Ahli Parlimen Bachok itu turut menyatakan, manusia diberikan nikmat yang mana setiap daripadanya merupakan ujian sekiranya tidak bersyukur.

Tambah beliau, apabila nikmat digunakan tanpa mengingati-Nya, manusia akan melampaui batas, pemerintah atau orang-orang kaya menjadi rakus dan menzalimi rakyat serta golongan fakir miskin.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, rakyat juga cenderung melakukan kejahatan seperti menipu, mengkhianati rakan perniagaan, mencuri, menyorokkan atau menaikkan harga barang sesuka hati dan sebagainya.

“Maka bala ALLAH SWT turun, berlaku kejadian yang menyengetkan mizan (timbangan) kehidupan. Banjir, kemarau, gempa, penyakit, perang dan seumpamanya melanda, manusia jadi tak keruan serta mementingkan diri sendiri.

“Berlakulah kezaliman, antaranya kenaikan harga barang melampau dan tidak terkawal, salah menyalahkan antara manusia dan serang menyerang secara zalim,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!