Harga barang naik: 'Peniaga diperiksa tapi pemborong tidak kena'

Mohamad Yusrizal (kiri) semasa membuat tinjauan harga sayuran di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.
Mohamad Yusrizal (kiri) semasa membuat tinjauan harga sayuran di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Para peniaga tidak dapat mengelak kenaikan harga beberapa barang keperluan seperti tomato, halia dan bawang yang dijual oleh mereka lebih sebulan lalu walaupun ada pelanggan yang merungut.

Menurut seorang peniaga, Sazali Ismail, 44, berkata, mereka menjual barangan basah berdasarkan harga semasa yang ditetapkan oleh pemborong.

Sazali menunjukkan halia yang dijual pada harga RM18 sekilogram di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.
Sazali menunjukkan halia yang dijual pada harga RM18 sekilogram di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.

"Sekarang yang teruk peruncit, peniaga macam kami, orang yang kena marah peruncit, yang bawa barang (pemborong) tidak kena. Mereka (pihak berkuasa) datang periksa pun yang kena peruncit.

"Sepatutnya dari sana (pemborong) yang kena periksa. Kita peruncit ini kalau pemborong letak harga itu, kita kena ikut. Kalau tidak macam mana mahu berniaga," katanya semasa ditemui di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.

Sazali berkata, kenaikan harga buah tomato mula naik harga sejak Hari Raya Aidiladha dari RM5 kepada RM8 sekilogram (kg).

Menurutnya, tidak semua sayur yang dihantar oleh pemborong dapat dijual oleh peruncit kerana ada yang rosak.

"Seperti halia pula dijual pada harga RM100 bagi satu kotak berat lebih kurang 10kg berbanding RM50 bagi satu kotak. Dulu halia boleh jual RM8 hingga RM10 satukg, sekarang jual antara RM16 hingga RM18 satukg," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi peniaga, Asyraf Wajdi Ku Hashim, 24, berkata, kenaikan harga tomato dan halia tidak lagi dapat dielakkan kerana telah membeli harga yang tinggi daripada pemborong.

Asyraf Wajdi menunjukkan tomato yang dijual pada harga RM8 sekilogram di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.
Asyraf Wajdi menunjukkan tomato yang dijual pada harga RM8 sekilogram di Pasar Besar Alor Setar pada Rabu.

Walaubagaimanapun, harga bagi sayuran lain termasuk sawi dan cili merah masih berada pada paras harga murah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tinjauan telah dilakukan di Pasar Besar Alor Setar berdasarkan hasil maklumat orang ramai berhubung kenaikan harga halia dan tomato.

Menurutnya, Skuad Pengguna di beberapa daerah iaitu Kubang Pasu, Yan, Kota Setar, Pendang, Sik, Baling, Langkawi, Bandar Baharu dan Kulim telah melaporkan berlaku kenaikan harga barang tersebut.

"Sejak seminggu lalu, Cake sudah meninjau di pasar raya dan pasar basah mendapati memang berlaku kenaikan yang agak drastik sehingga membebankan pengguna.

"Kita dapati ada peniaga menjual halia dengan harga RM1.80 untuk 100 gram tetapi sebelum ini tak sampai pun RM1.

"Kalau kita tengok, bawang putih pun berlaku kenaikan antara RM6 hingga RM7 sekilogram dan dilaporkan oleh Skuad Pengguna yang terdiri daripada peniaga kedai makan," kata beliau.

Mohamad Yusrizal berkata, Skuad Pengguna juga antara paling terkesan dengan kenaikan harga barang tersebut kerana mereka merupakan pembeli mingguan atau pun bulanan.

"Kita beranggapan bahawa kenaikan harga barang seperti sayur-sayuran hari ini adalah berpunca akibat kejatuhan nilai mata wang kita selain kemerosotan pengeluaran seperti faktor iklim dan cuaca di tempat penanaman seperti di India dan Thailand," ujar beliau lagi.