Hidup makin 'keras', apa pilihan rakyat

Baru-baru ini, pengguna dikejutkan dengan kenaikan harga beras import dan kekurangan bekalan telur ayam. - Gambar hiasan
Baru-baru ini, pengguna dikejutkan dengan kenaikan harga beras import dan kekurangan bekalan telur ayam. - Gambar hiasan
A
A
A

KESAN kenaikan harga beras sejak awal bulan ini sudah mula membahang. Keluhan isu itu juga menjadi topik hangat diperkatakan tidak kira di Dewan Rakyat, kenduri kahwin malah di kedai kopi.

Di media sosial, ada yang membandingkan harga beras dalam resit belian mereka sebelum dan selepas kenaikan harga. Ada yang berkongsi gambar harga beras import terkini. Tidak kurang juga yang merungut beras tempatan 'ghaib'.

"Takut tengok harga beras sekarang. Boleh istighfar depan kampit beras tengok harga." Itu antara luahan netizen yang menarik perhatian penulis.

Padiberas Nasional Bhd (Bernas) pada 1 September lalu dilaporkan cuba menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa hari berkenaan.

Langkah pelarasan itu juga sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, harga beras tempatan dilaporkan kekal RM2.60 sekilogram menyebabkan ia jadi rebutan. Pengguna pula terpaksa membeli beras import pada harga yang mahal.

Apa pilihan yang rakyat ada? Beras makanan ruji orang kita. Mahal atau tidak, memang kena beli. Bagi ibu bapa ada mulut-mulut kecil yang perlu disuap setiap hari.

Penulis terkesan dengan laporan media keluhan seorang suri rumah, Rohani Omar, 50, terpaksa mencatu makan untuk keluarganya disebabkan harga beras yang paling murah dinikmati mereka sebelum ini naik harga mendadak.

Artikel Berkaitan:

Luahnya, beras tempatan jenama Nagasari yang sebelum ini dibeli pada harga RM25 bagi 10 kilogram (kg), sekarang naik sehingga RM40.

Penulis yakin selain kisah Rohani, ramai lagi ibu-ibu yang terpaksa mencatu makan keluarga apatah lagi terpaksa berdepan kenaikan harga barangan lain.

Belum lega isu harga beras, dilaporkan harga bawang merah, bawang putih dan cili kering naik antara 30 hingga 40 peratus.

Tinjauan media di Johor Bahru mendapati harga bawang merah yang sebelum ini RM5 hingga RM6 sekilogram kini naik kepada antara RM9 hingga RM13.

Bawang putih yang sebelum ini hanya RM5 sekilogram turut naik ke hampir RM9 manakala lada kering yang sebelum ini hanya RM13 sekilogram naik mendadak kepada lebih RM21.

Golongan peniaga makanan termasuk nasi bajet pastinya antara yang paling terkesan sehingga ada yang mahu mengibarkan 'bendera putih' kerana tidak mampu mempertahankan identiti nasi bajet lagi.

Bagi peniaga yang sukar mendapatkan bekalan beras tempatan, sudah tentu berada dalam dilema untuk menggunakan beras import kerana sukar untuk mengekalkan harga makanan yang dijual.

Bagaimanapun buat masa ini tinjauan media melaporkan rata-rata peniaga masih mengekalkan harga makanan meskipun barang keperluan menunjukkan peningkatan ketara antara 41 hingga 60 peratus bagi beras dan gula, selain bahan mentah lain.

Ironinya, isu kenaikan harga barang dan tekanan peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat Malaysia merupakan masalah yang seakan-akan tidak berpenghujung.

Isu tersebut dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun sudah bertukar kerajaan dan tampil dengan formula-formula baharu.

Kerajaan hari ini diminta untuk memberikan tumpuan dan pendekatan tuntas menyelesaikan isu kenaikan harga beras dan barangan lain yang menghimpit rakyat ketika ini.

Selain itu tindakan segera perlu dilakukan bagi menampung kekurangan 38 peratus bekalan beras untuk kegunaan tempatan.

Sekiranya rakyat terus adaptasi kenaikan harga disebabkan faktor global, bimbang sedikit demi sedikit harga yang naik akhirnya tidak dapat dikawal lagi. Tiada benda yang turun, semuanya naik!

* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian