Harga barang: Rakyat mahu tindakan segera

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

SEBENARNYA kalau ada satu isu yang boleh ‘menjolok sarang tebuan’ ketika ini adalah tentang kelangsungan dan kos sara hidup yang semakin menghimpit.

Di mana-mana, sama ada anda tergolong dalam kelompok T20 mahupun B40, kesan kenaikan harga barang ini menjadi rungutan berpanjangan kerana tetap dirasai di semua peringkat, walaupun berbeza mengikut pendapatan isi rumah.

Dalam erti kata lain, sebut sahaja tentang kos sara hidup, ramai yang ‘bising’ apabila kenaikan harga barang terus berlaku.

Maka tidak hairan, kenyataan Menteri Ekonomi mengenai data dikumpul sejak 20 tahun lalu menunjukkan rakyat Malaysia ‘ketagih’ makan di luar, dihujani pelbagai komen netizen.

Meskipun menteri memberikan hujahan beliau berkaitan kenyataan itu - yang antara lain menyalahkan dasar-dasar lampau apabila tabiat makan luar ini mengakibatkan penyusutan pendapatan boleh belanja rakyat - ia bukan hanya tidak melegakan keresahan, sebaliknya mengundang kemarahan.

“Jadi sekarang, rakyat yang salah ke? Senang kerja. Tak kisahlah apa alasan sekalipun, bagi stabil dulu harga barang-barang asas. Asyik suruh rakyat jimat, jimat, jimat. Dah tak larat nak jimat tau!” itu antara komen yang berlegar di media sosial susulan kenyataan menteri berkenaan.

Sama perihalnya juga dengan video tular timbalan menteri membeli barangan dapur dengan bajet bawah RM200 - yang kemudian laporan polis mengenainya dibuat kerana diambil di luar konteks dan bersifat fitnah - tidak terlepas daripada kecaman warga maya.

Ketika poket rakyat semakin menipis, jelas sekali, isu berkaitan kos sara hidup yang terkait sekali dengan cara hidup, sangat sensitif untuk dibincangkan.

Artikel Berkaitan:

Merasai denyut nadi rakyat, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri juga turut menggesa pelaksanaan segera pelan jangka pendek bagi mengatasi kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan.

Kepada kerajaan, ketahuilah rakyat di bawah bukan suka-suka nak buat ‘bising’.

Ya, mungkin benar kebanyakan rungutan di media sosial lebih bersifat emotif, namun percayalah perihal menstabilkan harga ini sebenarnya sudah sampai ke tahap mendesak dan sewajarnya menjadi perjuangan nombor satu kerajaan pada hari ini.