Enggan bebankan keluarga, pelajar daftar masuk universiti seorang diri

Ridzwan (tengah) disambut Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada Jumaat.
Ridzwan (tengah) disambut Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Nerus pada Jumaat.
A
A
A

KUALA NERUS - Masalah kewangan antara faktor mendorong seorang pelajar dari Sabah memberanikan diri menempuh perjalanan selama sembilan jam seorang diri untuk mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Jumaat.

Mahasiswa Sarjana Muda Pengurusan (Maritim), Fakulti Pengajian Maritim, Ridzwan Omar, 20, berkata, dia bertolak dari rumahnya di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira jam 8 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus sekitar jam 5 petang.

"Saya naik 'flight' dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu jam 10.45 pagi dan tiba KLIA (Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur) jam 1.25 tengah hari sebelum bertolak dari situ ke Kuala Nerus jam 4.15 petang.

"Sebaik tiba di LTSM jam 5.10 petang, saya disambut oleh wakil MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) UMT," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Anak ketiga dari lapan beradik itu berkata, dia hanya tawakal dan menyerahkan segalanya kepada ALLAH SWT agar urusan mandaftar masuk universiti berjalan lancar.

"Ini kali pertama saya berjalan jauh seorang diri. Sepanjang perjalanan itu perasaan saya berbaur. Saya rasa gementar dan sebagainya namun bersyukur sebab ALLAH SWT lancarkan segala urusan saya untuk sampai di UMT," katanya.

Jelas Ridzwan, dia telah membuat keputusan untuk mendaftar masuk seorang diri selepas menerima tawaran masuk ke UMT pada 8 September lalu.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu membebankan bapanya, Omar Umba, 40, yang bekerja sebagai pekerja am dan ibunya, Jujija Kimsoy, 42 yang tidak bekerja (suri rumah).

Artikel Berkaitan:

"Kos perjalanan sehala pun kalau kira lebih RM400. Dengan kenaikan harga barang dan adik-adik saya pun masih ramai lagi.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk uruskan seorang diri walau jauh perjalanan dan pertama kali saya rasai pengalaman ini," ujarnya.

Kata Ridzwan, abang sulungnya, Yusri Omar, 22, kini menuntut dalam bidang kejuruteraan elektrik di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan adik bongsu berusia tiga tahun.