PRN: Beberapa jalan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus ditutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beberapa jalan sekitar kawasan di Parlimen Terengganu dan Kuala Nerus akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, penutupan jalan bermula jam 7 pagi hingga 1 petang itu bagi memberi laluan kepada penyokong parti politik ke pusat penamaan calon ditetapkan.

"Penamaan calon bagi Parlimen Kuala Terengganu diadakan di Dewan Banquet MBKT, Menara MBKT yang melibatkan penutupan jalan di Drawbridge.

"Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pula diadakan di Dewan Serbaguna Perpustakaan Awam Kuala Terengganu yang melibatkan penutupan jalan di Jalan Hilirian iaitu bermula dari lampu isyarat Perpustakaan Awam Kuala Terengganu hingga lampu isyarat PPR Hiliran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, bagi Parlimen Kuala Nerus melibatkan DUN Seberang Takir yang diadakan di Dewan Sivik Seberang Takir dengan penutupan di Jalan Fikri.

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan agar tidak menghadapi sebarang kesulitan selain mematuhi segala arahan polis trafik yang bertugas.

"Lalu lintas akan dibuka semula seperti biasa sekiranya proses penamaan calon selesai lebih awal," ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihatkan kepada mana-mana pihak untuk tidak menerbangkan dron sepanjang proses penamaan calon berlangsung tanpa kebenaran pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Civil Aviation Authority of Malaysia).

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi arahan ini.