Kes Sulu: Malaysia dalam proses batal award akhir RM62.59 bilion - Azalina

KUALA LUMPUR - Malaysia kini dalam proses membatalkan award akhir AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang diberikan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa dalam kes yang dibawa oleh individu mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dengan pembatalan ini, perjuangan sekian lama kerajaan Malaysia terhadap tuntutan dalam kes Sulu akan berakhir kerana asas tuntutan tidak lagi wujud.
"Dalam kes penipuan membabitkan Sulu, individu yang mengaku sebagai waris Sultan Sulu telah cuba memeras ugut Malaysia sebanyak AS$14.9 bilion, atau kira-kira RM62.59 bilion, dengan pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga iaitu Therium.
"Malaysia telah menghabiskan banyak masa, tenaga dan sumber bagi mempertahan negara kita daripada tuntutan remeh dalam kes penipuan kumpulan Sulu ini di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda. Di sebalik kerumitan ini, Malaysia menegaskan bahawa apa yang kita alami dalam kes penipuan kumpulan Sulu ini bukanlah unik kepada Malaysia sahaja.