Jangan cuba cabar lagi kedaulatan Malaysia

Keputusan pada 26 Jun itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas. - Gambar hiasan
Keputusan pada 26 Jun itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KISAH tuntutan waris Kesultanan Sulu yang berterusan mencabar kedaulatan Malaysia akhirnya menemui titik noktah.

Pada 6 Jun lalu, negara melakar sejarah apabila Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan itu bermaksud penuntut (orang yang menuntut) tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara (Stampa) terkhilaf dalam melaksanakan bidang kuasanya.

Jelas Azalina, keputusan berkenaan akan menghentikan usaha penuntut dan pembiaya mereka iaitu Therium untuk menguatkuasakan award tidak sah itu serta cuba mendapatkan pampasan yang besar daripada Malaysia.

Usaha Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan isu ini diselesaikan segera menjadi kenyataan apabila Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu.

Keputusan pada 26 Jun itu merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas.

Kerajaan Malaysia dilihat semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya award akhir yang tidak sah dan disalahgunakan pihak yang menuntut berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan Dr Gonzalo Stampa, sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah.

Artikel Berkaitan:

Ya, sejarah yang akan tertulis bahawa Malaysia adalah negara yang berdaulat dan tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak bertujuan untuk memburukkan imej negara di peringkat antarabangsa, malah dunia.

Ia turut menjadi bukti bahawa kerajaan hari ini tidak pernah berhenti dalam usaha melindungi kedaulatan, keselamatan negara serta kepentingan negara, termasuk kes tuntutan Sulu ini.

Sudah terang lagi bersuluh, jelas terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia menerusi tuntutan berkenaan. Ini kerana ia dibuat kepada penimbang tara Sepanyol dan penimbang tara terbabit iaitu Stampa telah membuat keputusan memihak kepada mereka.

Sebelum ini, mereka yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.

Stampa kemudian mengeluarkan award akhir berjumlah AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia.

Malaysia telah menggunakan segala remedi perundangan untuk membatalkan award itu di mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg serta Belanda.

Tidak berpuas hati, kumpulan itu kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Paris.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Paris pada 14 Mac lalu mengekalkan perintah penggantungan yang diperoleh Malaysia terhadap pelaksanaan award akhir tersebut.

Apa sekalipun, kemenangan bersejarah yang diperoleh negara dalam kes tuntutan kumpulan Sulu itu memberi keyakinan kepada penduduk khususnya yang di tinggal di Pantai Timur Sabah tempat di mana konflik berdarah itu bermula.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tungku Momen Angchai berkata, kemenangan itu amat melegakan penduduk. Ketika ini soal keselamatan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Tungku tidak merisaukan jika dibandingkan pada tahun 2014 iaitu setahun selepas tragedi pencerobohan menyebabkan penduduk kampung trauma dan aktiviti sosioekonomi mereka lumpuh.

Sudah pasti kita tidak mahu kejadian pada Februari 2013 itu berulang. Pengganas Sulu menceroboh tanah air, membuat huru-hara dan membunuh pasukan keselamatan kita dengan kejam.

Penduduk Lahad Datu terkesan dan trauma dengan tragedi pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Tindakan mereka akhirnya membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo mengakibatkan 10 wira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut.

*Izwan Rozlin ialah wartawan Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!