Prosiding tuntutan Sulu secara keseluruhan tidak sah - Azalina

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan prosiding penyelesaian pertikaian tuntutan pihak mendakwa kesultanan Sulu secara keseluruhannya adalah tidak sah.

Beliau berkata, ini kerana ketiadaan hasrat antara pihak-pihak yang berkontrak untuk menyelesaikan pertikaian mereka melalui timbang tara dalam Perjanjian 1878.

"Adalah jelas bahawa Perjanjian 1878, hanya merupakan peruntukan penyelesaian pertikaian yang menandakan persetujuan bersama pihak-pihak untuk melantik pihak ketiga bebas untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dan perbezaan.

"Seperti yang kita maklum, proses timbang tara seperti mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif yang lain memerlukan persetujuan yang tegas, nyata dan bersama-sama antara kedua-dua pihak berkontrak untuk menggunakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap secara dalam talian sempena Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 bertemakan Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Kolokium itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta beberapa pemimpin negeri ini.

Hajiji (tengah) diiringi Wan Junaidi (kiri) dan Khairul Dzaimee (kanan) menyempurnakan perasmian Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di SICC Kota Kinabalu pada Selasa.
Hajiji (tengah) diiringi Wan Junaidi (kiri) dan Khairul Dzaimee (kanan) menyempurnakan perasmian Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di SICC Kota Kinabalu pada Selasa.

Bagaimanapun, Azalina berkata, tidak ada dalam Perjanjian 1878 yang menunjukkan niat pihak-pihak untuk memilih timbang tara sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian yang diutamakan.

"Oleh itu, dengan ketiadaan perjanjian timbang tara prasyarat, permulaan prosiding timbang tara yang didakwa oleh pemohon adalah jelas tidak mempunyai asas," katanya.

Sehubungan itu, Azalina menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah dalam apa juga keadaan menolak imuniti kedaulatannya dalam prosiding timbang tara yang didakwa itu.

"Tiada negara harus tunduk kepada bidang kuasa mahkamah negara lain. Ini adalah prinsip lazim yang diiktiraf di bawah undang-undang antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia secara konsisten telah mengemukakan bantahan pada masa yang tepat terhadap percubaan secara jelas pemohon dalam 'forum shopping', menggunakan bidang kuasa penimbang tara, meneruskan prosiding timbang tara walaupun ia bertentangan dengan perintah Mahkamah Sepanyol mengenai perpindahan tempat timbang tara yang belum pernah terjadi sebelum ini, serta penyampaian Penganugerahan Akhir yang didakwa.

"Kes sembrono ini yang ditaja oleh pihak pemberi pinjaman litigasi antarabangsa, Therium, telah menimbulkan beberapa kebimbangan terutamanya berkenaan dengan keperluan untuk menegakkan kelakuan etika, integriti, profesionalisme, dan amalan baik oleh penimbang tara yang merupakan asas kepada proses timbang tara yang sah.

"Ini adalah asas untuk mengekalkan keyakinan pihak-pihak yang memilih penimbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mereka, jika tidak, ia boleh merosakkan keseluruhan sistem timbang tara," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkongsi pada 6 Jun 2023, kerajaan Malaysia memperoleh kemenangan bersejarah dalam pertikaian undang-undang berterusan dengan pemohon di mana Mahkamah Rayuan Paris mendapati bahawa penimbang tara secara salah mengekalkan bidang kuasanya.

"Keputusan ini telah mengukuhkan kedudukan dan keyakinan yang besar kepada pendirian tegas Malaysia dalam perkara ini.

"Yang lebih penting, keputusan bersejarah terkini oleh Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun 2023 adalah keputusan pertama yang menolak percubaan pemohon untuk mengiktiraf dan menjalankan Penganugerahan Akhir yang didakwa," katanya.