Tuntutan Sulu bukan hanya masalah Sabah - Wan Junaidi

Wan Junaidi ditemui pemberita ketika hadir pada Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di SICC Kota Kinabalu pada Selasa.
Wan Junaidi ditemui pemberita ketika hadir pada Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di SICC Kota Kinabalu pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Isu tuntutan pihak yang mendakwa daripada kesultanan Sulu bukan hanya masalah negeri Sabah sebaliknya kepada negara ini juga, kata Yang Di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, menerusi Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023 ini penting untuk menyebarkan pendirian kerajaan kerana masih ramai yang mengatakan ia adalah masalah Sabah.

"Ini bukan masalah Sabah, ini masalah Malaysia dan negara Malaysia. Jadi Sabah sebahagian kecil sahaja yang menuntut yang panggil mereka waris Sultan Sulu yang masih dipertikaikan.

"Bagaimanapun, kita berjaya beberapa peringkat di Madris pun kita berjaya, di Paris kita sudah berjaya tetapi oleh kerana keadaan Konvensyen New York 1958 itu sendiri, maka keputusan yang dibuat oleh Dr Stampa pada tahun 2022 itu boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan di mana-mana negara yang signatori kepada Konvensyen New York 1985," jelasnya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kepentingan Kolokium Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa 2023 bertemakan Kedaulatan Negara dan Kekebalan dalam Penyelesaian Pertikaian Komersial yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dekat sini.

Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, jika dilihat yang tandatangan perjanjian sebelum ini adalah Sultan Sulu yang dahulu iaitu Jamalul Kiram III.

"Mereka ini tiada lagi, semua tiada lagi, dalam perjanjian itu mengatakan kalau ada masalah rujuk kepada High Commisioner di Brunei. Semua badan-badan yang disebut dalam perjanjian itu tidak wujud lagi, perjanjian itu sendiri bersifat historical," katanya.

Sehubungan itu, menerusi kolokium ini akan menjelaskan bahawa kerajaan pusat tidak akan berdiam diri daripada mempertahankan negara ini.

"Kerajaan pusat tidak mendiam diri, kita mempertahankan setiap inci tanah Malaysia ini, secebis harta benda. Jangan digugat oleh mana-mana termasuk dengan sistem dan cara yang tidak mengikut garis panduan undang-undang.

"Maka ini yang kita nak sebarkan kepada masyarakat menerusi kolokium ini supaya mereka tahu bahawa kita solid, bagaimana di belakang kerajaan pusat dan negeri mempertahankan setiap inci setiap secebis harta benda kita di mana saja berada," katanya.

Sebelum itu, kolokium itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said secara dalam talian