PM tegas tidak campur tangan kes DNAA Zahid

Anwar, Ahmad Zahid
Anwar, Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan berhubung kes keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Anwar berkata, tidak ada sebarang perjumpaan yang dilakukan melibatkan beliau dengan Tan Sri Idrus Harun sebaliknya, hanya meminta Peguam Negara ketika itu memberikan penjelasan berhubung keputusan yang diambil.

Ujar beliau, keputusan berkenaan akhirnya terletak di bawah kuasa budi bicara Peguam Negara.

“Kuasa budi bicara Peguam Negara tersebut yang tidak boleh dipersoalkan merupakan prinsip undang-undang yang mantap (trite law) yang telah diputuskan secara konsisten dalam kes-kes mahkamah tertinggi di Negara ini seperti Long bin Samat v. PP [1974] 2 MLJ 152 dan Johnson Tan Han Seng V. PP [1977] 2 MLJ 66, Public Prosecutor v Zainuddin & Anor [1986] 2 MLJ 100 dan Karpal Singh & Anor Public Prosecutor [1991] 2 MLJ 544,” katanya pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia bukanlah kali pertama suatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan.

“Terdapat duluan (precedent) sebelum ini apabila kes pihak pendakwaan telah diberhentikan setelah kes prima facie berjaya dibuktikan ke atas tertuduh dan tertuduh diperintah membela diri di Mahkamah antaranya kes Pendakwa Raya lawan Siti Aisyah & Doan Thi Huong (kes pembunuhan Kim Jong Nam).

“Di dalam kes tersebut, tertuduh bernama Siti Aisyah telah Aisyah telah diberikan perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2019 setelah permohonan memberhentikan kes ke atas beliau dibuat oleh pihak pendakwaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anwar, beliau memilih untuk menjawab isu DNAA memandangkan ramai Ahli Parlimen yang meminta penjelasan beliau berkenaan perkara tersebut.

“Ia tidak memuaskan semua pihak kerana mereka menyatakan ini suatu hal yang baharu seolah-olah Perdana Menteri campur tangan.

“Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan. Sebab itu Peguam Negara berikan 11 penjelasan,” jelasnya.

Anwar sebelum ini telah beberapa kali menegaskan beliau tidak campur tangan dalam isu DNAA Ahmad Zahid kerana ia adalah kuasa budi bicara Peguam Negara.