Kes DNAA Zahid: Rakyat perlu adil, tunggu penjelasan dua Peguam Negara - Rafizi

Fahmi, Rafizi
Fahmi, Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyedari terdapat pelbagai persoalan yang melingkari pemikiran rakyat mengenai keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Namun Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, adalah tidak adil untuk menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Kerajaan Perpaduan mencampuri urusan kehakiman, khususnya Pejabat Peguam Negara.

Mengakui beliau juga inginkan jawapan seperti mana orang lain, Rafizi berkata, adalah lebih baik untuk bersabar dan menanti penjelasan dari bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara kini, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dijangka akan memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Faktanya Perdana Menteri tidak menghalang perbincangan di peringkat Kabinet, yang mahu penjelasan. Faktanya Perdana Menteri tidak menghalang pemimpin parti yang mahu kedua-dua AG ini memberi penjelasan di Parlimen.

“Saya juga berminat seperti mana orang lain, tetapi untuk menuduh Perdana Menteri, dan menjangkakan Perdana Menteri akan mencampuri apa jua keputusan AG, saya rasa rakyat harus bertindak adil kepada kerajaan,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan BFM – Breakfast Grille pada Rabu.

Ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan melepas Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB, Rafizi berkata, beliau mengambil pendekatan untuk tidak memberi komen untuk kes-kes berprofil tinggi.

“Sebab itu pada masa lepas, saya tidak sewenang-wenangnya memberi komen terhadap setiap kes atau setiap individu, kerana saya tahu sesetengah kes mempunyai merit yang lebih besar dan lebih baik.

“Jadi saya cenderung membiarkannya menjadi urusan mahkamah, dan biar pendakwaraya lakukan kerja mereka. Kami komited untuk tidak mencampuri urusan mahkamah,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai langkah memohon pengampunan bagi Najib, Rafizi menjawab – “Kami akan membincangkannya di peringkat Kerajaan Perpaduan, kami akan membincangkannya di peringkat Kabinet. Tetapi kita sedia maklum Pakatan Harapan tidak akan bersetuju”.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Dewan Rakyat boleh membahaskan keputusan DNAA Ahmad Zahid apabila JKPK mengenai Pembaharuan Institusi membentangkan laporannya.

Katanya, JKPK ialah platform terbaik untuk mendapatkan maklumat serta pertimbangan yang paling terperinci dan tepat berkenaan perkara tersebut.

"Seperti yang disebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Institusi, William Leong semalam, jawatankuasa tersebut yang turut melibatkan dan merangkumi Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional termasuk Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim), Jeli (Zahari Kechik), dan Besut (Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh).

"Mereka sebahagian daripada jawatankuasa itu dan akan dipanggil. Peguam Negara yang sekarang dan bekas Peguam Negara juga akan dipanggil.

"Dalam proses Parlimen, saya rasa itu tempat yang paling tepat kerana JKPK ialah satu format dan platform sangat tepat, kita boleh dapatkan maklumat yang sangat terperinci," katanya.

Fahmi menambah, JKPK sebelum ini telah banyak memainkan peranan termasuk dalam pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti dan Dasar Generasi Penamat (GEG) anti merokok.

Beliau berkata, semua pihak perlu bersabar dan membenarkan proses sewajarnya berjalan, dan meluahkan keyakinan laporan berkaitan akan dibentangkan di Dewan Rakyat apabila semuanya selesai.

Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara akan dipanggil JKPK bagi menjelaskan keputusan untuk menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Tinggi baru-baru ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!