Gerakan Selamatkan Malaysia kemuka tiga tuntutan kepada kerajaan

Laporan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan akhbar Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seketariat bersama Gerakan Selamatkan Malaysia terdiri daripada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk parti politik yang merancang berhimpun di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Sabtu mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Jumaat, tiga tuntutan dikemukakan kumpulan berkenaan adalah dakwa semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bebaskan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan memberikan undang-undang yang adil kepada semua rakyat.

"Sekretariat bersama menyeru seluruh rakyat yang cintakan integriti dan bersetuju dengan tiga tuntutan ini untuk hadir bersama-sama di Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan.

"Kami memberi jaminan bahawa himpunan aman selamatkan Malaysia akan berlangsung secara aman dengan penuh semangat berperlembagaan.

"Kita tidak akan mengendahkan sebarang provokasi yang dilakukan dan meminta semua peserta menjaga disiplin dan ketertiban sepanjang perhimpunan berlangsung," katanya.

Kenyataan bersama itu melibatkan Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mahasiswa United dan Persatuan Progresif Perikemanusiaan Selangor.

Selain itu, Gabungan Ayahanda Persilatan, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Khamis dilaporkan berkata, polis menolak notis pemakluman penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia kerana maklumat dikemukakan tidak lengkap.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, penganjur tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu, sakretariat bersama tersebut turut memaklumkan pihaknya telah menubuhkan satu pasukan guaman sekiranya mana-mana pihak menghadapi tindakan dari pihak berkuasa berhubung himpunan ini.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari dalam satu sidang akhbar pada Ahad lalu memaklumkan pihaknya akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September di hadapan kompleks beli-belah Sogo susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid.

Beliau kemudian memaklumkan himpunan itu kemungkinan akan diubah ke lokasi Bukit Bintang.