Polis tolak permohonan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media di IPD Dang Wangi pada Khamis. - Foto Bernama
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media di IPD Dang Wangi pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis menolak notis pemakluman penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia kerana maklumat dikemukakan tidak lengkap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, penganjur tidak menepati syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Mereka tidak menyatakan butiran penting seperti nama penganjur perhimpunan serta lokasi tempat berhimpun.

"Bagaimanakah perkara penting seperti ini tidak diambil peduli oleh pihak penganjuran yang terdiri daripada individu berpengalaman dalam mengadakan demonstrasi sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai perhimpunan balas oleh satu kumpulan dikenali Baju Merah, Mohd Shuhaily berkata, semua pihak yang ingin berhimpun harus tahu bahawa mereka harus menyerahkan notis pemakluman kepada polis lima hari sebelum berhimpun.

"Mereka perlu menyatakan di mana lokasi mereka akan berhimpun serta nama pihak penganjur dan sehingga hari ini tiada sebarang notis diterima dan risikan mendapati lokasi himpunan mereka berubah dari masa ke masa.

"Risikan terbaru kami mendapati ianya akan diadakan di sebuah masjid di Kampung Baru, di sini," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, ketiadaan sebarang pengesahan yang jelas dari penganjur boleh membawa kepada pelbagai masalah termasuk kesulitan kepada pengguna jalan raya dan orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Kita berharap penganjur dapat lebih bertanggungjawab dalam isu ini dan pihak polis belum lagi berada dalam tahap untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pihak tertentu daripada berada di mana-mana kawasan tertentu.

"Kami tidak mahu bertindak keterlaluan, kami akan menyediakan keanggotaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Katanya, penganjur tahu tentang implikasi undang-undang dan ini bukan kali pertama bagi mereka terbabit dalam perhimpunan.